Perak Hari Ini

Keputusan bebas Anwar berdasarkan undang-undang, bukan tekanan rakyat

Pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu bukan disebabkan oleh tekanan rakyat seperti yang didakwa pihak pembangkang, sebaliknya berdasarkan keterangan saksi dan undang-undang.

Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn, sehubungan itu berkata, semua pihak termasuklah pihak pembangkang perlu menerima dan menghormati keputusan mahkamah itu dan tidak menjadikannya sebagai bahan politik untuk meraih sokongan rakyat.

Katanya, keputusan itu juga wajar kerana dalam kes membabitkan jenayah seksual seperti rogol dan liwat, mahkamah tidak boleh menerima keterangan seorang saksi sahaja, iaitu Mohd Saiful sebaliknya perlu disokong dengan bukti bebas yang lain.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful tidak ada kena-mengena dengan politik kerana ia adalah kes jenayah sama seperti kes lain tetapi disebabkan beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, ia telah dipolitikkan oleh pihak pembangkang.

“Secara peribadi, saya berpandangan pembebasan Ketua Pembangkang itu telah memberi impak positif yang jelas membuktikan bahawa badan kehakiman dan sistem perundangan negara adalah bebas daripada campurtangan pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, media barat terutamanya dari United Kingdom katanya, perlu memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana membuat tuduhan Anwar akan disabitkan kesalahan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful disebabkan badan kehakiman dan sistem perundangan negara yang tidak adil.

Jelasnya, fitnah yang dilemparkan kira-kira sebulan lalu itu jelas tidak benar dan berasas sama sekali sekaligus menjatuhkan imej dan reputasi sistem kehakiman negara.

“Tuduhan liar yang dilemparkan oleh media Barat itu tidak boleh diterima dan mereka seharusnya meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana Anwar telah pun dibebaskan daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful, Isnin lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ko Youn yang juga Penasihat Khas Menteri Besar Perak, berkata parti itu mencadangkan kepada pihak pendakwa supaya tidak membuat rayuan kes, sebaliknya menerima keputusan mahkamah itu dengan tangan terbuka.

Namun, pendakwa katanya, masih boleh membuat rayuan dalam tempoh 10 hari dari tarikh keputusan diumumkan bagi mendapatkan alasan penghakiman di sebalik pembebasan Anwar .

“Ini bagi membolehkan mereka mengkaji alasan atau faktor di sebalik keputusan mahkamah membebaskan Anwar yang dikeluarkan secara bertulis.

“Berdasarkan kepada laporan media massa terkini, saya merasakan adalah tidak wajar pihak pendakwa meneruskan hasrat mereka untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu,” tambahnya lagi.

Ko Youn juga berkata, semua pihak termasuk pemimpin politik dan rakyat jelata perlu terus mara ke hadapan untuk membangunkan negara melalui transformasi ekonomi, politik dan sistem kerajaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Najib Razak.

Tegasnya, dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) berubah menjadi lebih matang hasil perubahan atau program transformasi yang diperkenalkan itu.

“Kita perlu bermemberi tumpuan dan fokus kepada usaha memajukan negara dan bangsa dengan menjayakan transformasi yang dirancang kerajaan bagi manfaat semua rakyat,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");