Seberang Jaya: Hari ini, 8 Januari, satu kenyataan akhbar telah dibuat oleh Ketua Polis Pulau Pinang di Hospital Seberang Jaya berhubung kejadian yang menimpa pengiring keselamatan Datin Seri Wan Azizah. Antara intipati kenyataan akhbar adalah seperti berikut:-
– menyatakan luka calar yang terkena pada tangan mangsa akibat terkena objek tajam yang tidak diketahui.
– menyatakan mangsa hanya mengalami luka calar lebih kurang 0.4cm dan bukan luka dalam.
– menyatakan menurut laporan awal doktor tiada kesan morphin yang wujud dalam darah mangsa.
– mengikut keterangan daripada mangsa, mangsa tidak mengsyaki sesiapa di atas kejadian tersebut.
– menyatakan mangsa tidak koma dan pengsan seperti yang digembar-gemburkan dalam laman web.
– menyatakan bahawa mangsa telah kembali stabil dan masih ditahan di wad 5 untuk rawatan susulan.
– menyatakan keputusan analisa sampel darah mangsa akan diketahui pada keesokan harinya di mana satu pasukan pakar telah ditubuhkan untuk membuat analisa sampel darah berkenaan di mana diketuai oleh Pengarah Hospital Pulau Pinang.
BERITA YANG DIPETIK DARI BLOG ANWAR IBRAHIM
Pengawal peribadi kepada Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail disyaki disuntik racun dan menyebabkannya pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya, tengah malam tadi.
Fayyad dipercayai diserang menerusi suntikan di telapak tangan kiri sewaktu mengiringi Wan Azizah meredah kesesakan orang ramai ke pentas ceramah di Kampung Cherok Tokkun .
Mangsa dikatakan ada meminta ais daripada wartawan PenangDaily, Zainulfaqar kerana tangannya berasa kebas, sebelum pengsan kira-kira 15 minit selepas terkena suntikan itu.
“Masa nak masuk sini, dia (Fayyad) dah minta ais sebab tangannya kebas. Masa bawa Kak Wan Azizah keluar tadi, dia dikejar ke hospital,” tulis Zainulfaqar di twitter.
Beliau juga memetik sumber dikenali sebagai Zul Saad yang menyatakan Wan Azizah menangis berikutan keadaan Fayyah ketika pengawal peribadi itu belum sedarkan diri.
Fayyad adalah pegawal peribadi Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang patah tulang pipi akibat terkena kelongsong gas pemedih mata ketika demonstrasi Bersih 2.0.
Semakan melalui akuan blog mikro itu mendapati rakyat yang begitu marahkan kejadian itu, percaya Fayyah bukan sasaran sebenar suntikan racun berkenaan, sebaliknya ia disyaki disasarkan kepada Wan Azizah.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Najwan Halimi pula berkata, keadaan Fayyad stabil dan sudah sedarkan diri tetapi tangan kiri sehingga bahu dilapor kebas dan gagal digerakkan.
“Doktor sedang membuat ujian darah dan air kencing utk pastikan jenis racun,” katanya melalui twitter selepas menghubungi Wan Azizah tidak lama selepas kejadian.