Sukan Hari Ini

Masalah Persatuan Bolasepak Terengganu perlu diselesaikan dengan baik

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Persatuan Bolasepak Perak (FAM), Datuk  Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berharap masalah yang melanda Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat diselesaikan dengan baik.

”Kita juga tidak mahu FAM bermasalah…jadi saya harap masalah ini akan diselesaikan dalam keadaan baik dan keadaan ‘win-win situation’.

”PBSNT dan Jawatankuasa Pertandingan FAM perlu berbincang semula bagi mengatasi masalah yang melanda kedua-dua pihak terbabit…masalah itu perlu ditangani segera bagi mengelak imej baik FAM dan sukan bola sepak negara ini tercemar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Katanya, kedua-dua pihak disaran agar duduk semeja dan berbincang seperti ‘adik-beradik’ bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai perkara ini.

”Orang luar akan menuding jari kepada badan induk (FAM) sedangkan perkara ini adalah di peringkat jawatankuasa kecil dan saya rasa penyelesaian masih boleh dicari…..cari keputusan ‘menang-menang’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang memberi kata dua kepada FAM dan mahukan badan itu bertindak menyelesaikan masalah pemain import pasukan itu.

Ahmad Said mahu FAM membenarkan Terengganu menggunakan dua pemain import yang telah didaftarkan sebelum ini serta membayar ganti rugi kerana kerajaan negeri telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk mendapatkan dua pemain import berkenaan.

Selain itu, PBSNT juga mahu dua pasukan dari negeri itu menarik diri dari Liga M dan Piala Malaysia sekiranya tiada jalan penyelesaian.

Isu itu timbul ekoran pekeliling FAM bertarikh 23 Dis 2011 berhubung pendaftaran pemain import yang dihantar Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebelum kontrak bersama pemain import ditandatangani untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2012.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, beliau antara pihak yang terlibat menyuarakan keperluan membawa semula pemain import ke kancah Liga Super musim ini turut berasa terkilan dengan masalah yang melanda PBSNT.

”Jadi, saranan saya adalah supaya kedua-dua pihak berunding semula dan cari jalan penyelesaian…Liga M dan Piala Malaysia akan pudar sekiranya kedua-dua pasukan ini meninggalkan pertandingan,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");