Perak Hari Ini

Mata pelajaran keselamatan jalan raya diperkenalkan di sekolah menengah tahun ini

Mulai tahun ini, pelajar Tingkatan Satu di peringkat sekolah menengah didedahkan dengan mata pelajaran mengenai keselamatan jalan raya dalam usaha kerajaan untuk melahirkan pemandu yang bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata mata pelajaran itu telah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah iaitu kepada Murid Tahun 1 hingga 6 kira-kira tujuh tahun lalu.

Tegasnya, kini sudah tiba masanya untuk kementerian berkenaan meneruskan kesinambungan usaha itu di peringkat sekolah menengah pula.

“Di peringkat sekolah menengah, mata pelajaran keselamatan jalan raya ini akan diajar bermula dengan pelajar Tingkatan 1 dan kita bercadang untuk meneruskannya hingga Tingkatan 4.

“Ia akan diajar secara bersama dalam kelas Bahasa Melayu dan modul mata pelajaran ini disediakan oleh pakar bertauliah manakala buku teks pula dicetak oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR), iaitu agensi di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada 23 pertubuhan kebajikan di Perak yang bernilai RM69,000 sumbangan Magnum Corporation.

Dalam perkembangan lain, Cho Ha berkata, kementerian itu kini di peringkat akhir merangka silibus untuk pelatih institut memandu menjalani ujian dengan menggunakan kereta transmisi utomatik atau manual.

Katanya, silibus itu akan diperkenalkan selepas pertengahan tahun ini dan pelajar bebas untuk membuat pilihan mereka samada untuk mendapatkan lesen automatik atau manual.

“Terpulang kepada pelajar untuk membuat perbandingan dari segi kos samada mahu mereka mendapatkan lesen memandu dengan menggunakan kereta transmisi automatik atau manual semasa ujian memandu.

“Tetapi kaedah yang kita tetapkan ialah pemandu yang memiliki lesen automatik tidak boleh memandu kereta manual tetapi mereka yang mendapat lesen manual boleh memandu kereta transmisi manual dan automatik,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");