Program Basmi Kemiskinan

MBI janji pindah tapak lupus sampah baru sebelum April 2012

Susulan aduan penduduk di sekitar Bercham, Tanjung Rambutan dan Ulu Kinta berkaitan penyeksaan mereka menghidu bau busuk dari tapak pelupusan sampah akhirnya mendapat reaksi pemimpin kawasan berkenaan yang tampil untuk membantu mereka.

Adun Ulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim ketika lawatannya ke tapak berkenaan mengesa pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya mempercepatkan proses penutupan kawasan pelupusan sampah terbabit.

Tambahnya, penduduk di sekitar telah menanggung azab daripada pencemaran abu dan sejak puluhan tahun lamanya dan justeru itu, MBI diminta supaya bertindak dengan kadar segera.

Jelas Rusnah lagi, sebelum ini, beliau telah mengadakan perjumpaan bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkaitan masalah pencemaran yang dialami oleh lebih 6,000 penduduk dari 7 taman perumahan berdekatan tapak pelupusan terbabit.

“Sebelum ini MBI janji pada saya untuk tutup tapak pelupusan ini sebelum 31 Disember 2011. Bagaimanapun sehingga minggu pertama Januari 2012, masih belum ada apa-apa yang dilakukan.

“Justeru saya berjumpa semula dengan Datuk Bandar bagi mengetahui status sebenar penutupan itu dan beliau (Datuk Bandar) memaklumkan bahawa kerja-kerja menyediakan tapak baru di Ulu Johan, dekat Papan sedang giat dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, terang Rusnah pihak MBI telah berjanji akan memindahkan kawasan pelupusan sampah itu ke tapak baru sebelum akhir April ini.

“Jadi kita harap penduduk dapat bersabar sehingga tempoh yang dijanjikan dan pihak MBI sendiri dapat mengotakan janji mereka,” katanya pada sidang media di Tapak Pelupusan Sampah Batu 8, Jalan Bercham-Tanjung Rambutan pagi tadi.

Dalam pada itu, Pengarah Hal Ehwal Komuniti MBI, Zulkifle Jaafar Sidek memberitahu agensi berkenaan telah sedia maklum mengenai masalah pencemaran bau yang dihadapi penduduk sekitar Bercham, Ulu Kinta dan Tanjung Rambutan

Katanya, masalah pencemaran air, bau busuk dan kesihatan yang dihadapi penduduk sekitar akan berakhir apabila pusat itu akan ditutup dalam tempoh empat bulan lagi.

“Jadi untuk makluman keluasan keseluruhan pusat pelupusan sampah ini adalah 45.6 hektar namun hanya 6 hingga 8 hektar sahaja  yang digunakan untuk tujuan itu.

“Kita peka dengan masalah yang dihadapi penduduk dan mengakui terdapat pelbagai aduan yang dibangkitkan mereka,” katanya.

Beliau berkata MBI telah mendapat pandangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri yang melaporkan keadaan pusat pelupusan sampah itu tidak diurus dengan baik dan berhampiran kawasan perumahan dan Sungai Choh.

Berdasarkan laporan jabatan terbabit, difahamkan tapak pelupusan sampah itu dilabelkan pada tahap dua di mana kerja-kerja pelupusan sampah dilakukan dengan menimbuskan tanah di atas sampah tidak dijalankan secara teratur dan gagalkan mengurangkan bau busuk.

“Kita berjanji akan tutup pusat ini dalam tempoh empat bulan dan akan berpindah ke Ulu Johan dekat Papan yang berkeluasan 224 hektar. Kita sudah ada laporan kajian Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang melaporkan keadaan tapak pelupusan di situ adalah sesuai bagi tapak baru dengan penggunaan teknologi tinggi iaitu tahap empat,” katanya.

Zulkifle berkata, kaedah merawat ‘leachate’ (air larut resapan) dan kaedah penimbusan tapak pelupusan sampah dibuat secara terurus jadi ia dapat mengelakkan pencemaran udara dan sungai.

“MBI berjanji akan tutup pusat pelupusan sampah di Bercham dalam masa terdekat, selepas itu MBI akan melakukan penutupan selamat bagi memastikan keadaan air larut resapan tidak keluar dan bau busuk sampah tidak sampai ke kawasan lain untuk memberi keselesaan kepada masa akan datang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");