Membawang Hari Ini
Like

Misi Mencari Pengganti Jamal Abdillah

January 31, 2012
129 Views
0 Comments
2 minutes read
Misi Mencari Pengganti Jamal Abdillah

PERJALANAN kerjaya raja pop negara, Jamal Abdillah sudah pun mencecah 33 tahun. Namun, sehingga kini, pelapis atau pun lebih tepat pengganti dirinya masih belum nampak bayang lagi.

Bagaimanapun, ketika sidang media program Mutiara Kasih bersama Jamal Abdillah di Saloma Bistro sebentar tadi, penyanyi itu mengakui sedang mengintai beberapa calon yang tepat bagi menggantikan tempatnya sekiranya dia tidak lagi bergiat aktif dalam bidang yang dicintainya selama ini.

“Sebenarnya, saya sudah memulakan usaha untuk mencari pengganti sejak karnival bersama Jamal Abdillah yang diadakan baru-baru ini.

“Tujuan saya menganjurkan program mesra bersama peminat pun adalah untuk melihat bakat baru yang boleh menggantikan tempat saya suatu hari nanti.

“Jadi, sehari sebelum program Mutiara Kasih yang akan diadakan di JB Expo, The Zone Regency Hotel pada 12 Februari nanti, saya akan anjurkan sesi beramah mesra sekaligus sesi uji bakat.

“Kepada yang berminat, anda hanyalah perlu menyanyikan lagu saya saja. Ianya terbuka kepada sesiapa saja dan tidak mengira usia. Syaratnya hanyalah mesti pandai menyanyi.

“Kalau boleh, saya mahu nak mencari identiti yang mirip dengan saya. Dari segi cara nyanyian, perwatakan dan cakap mestilah punyai persamaan seperti saya.

“Tujuan uji bakat ini juga adalah untuk membentuk momentum buat mereka melibatkan diri dengan program amal berkenaan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai program berkenaan, Jamal mengalu-alukan mereka yang berbakat untuk menyertai majlis ini yang akan diadakan pada 11 Februari itu bertempat di Plaza Angsana, Johor Bahru

“Idea ini baru saja dicetuskan sebentar tadi. Menerusi program mesra ini, saya tidak mendapat apa-apa keuntungan kerana saya lakukannya secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

“Untuk pertandingan ini, mereka yang berjaya bakal menerima hadiah daripada saya sendiri seperti album, t-shirt dan cenderahati eksklusif saya serta tiket eksklusif menyaksikan konsert saya.

“InsyaAllah, saya akan mendidik dan mengasah bakat mereka seperti mana apa yang saya miliki sekarang. Saya akan membentuk mereka menjadi yang terbaik.

“Bagaimanapun, untuk program yang dianjurkan sebelum ini, saya sebenarnya telahpun berjumpa mereka, tetapi bakat peserta berkenaan berubah-ubah.

“Apabila menyanyikan lagu saya, mereka boleh jadi seperti saya. Namun, apabila nyanyi lagu penyanyi lain, dia akan terikut-ikut dengan penyanyi lagu berkenaan,” jelasnya.

-murai.com

Komen & Pendapat

Leave a Reply