Berita Hari Ini

Tanda-Tanda Menunjukkan Ada Harapan Eksport Malaysia Ke As Dipertingkatkan

Pasaran eksport paling penting Malaysia di negara maju, Amerika Syarikat (AS), kini menunjukkan tanda-tanda proses pemulihan ekonominya semakin stabil.

Para pakar ekonomi berkata tanda paling jelas yang boleh menstabilkan proses pemulihan ekonominya ialah laporan pekerjaan terbaharunya yang menunjukkan kadar pengangguran negara itu yang kini berada pada paras paling rendah bagi tempoh tiga tahun, apabila kira-kira 200,000 pencari pekerjaannya berjaya mendapatkan pekerjaan.

Ini berbeza dengan kadar pengangguran negara itu yang berada paras yang tinggi sejak tiga tahun lepas sehingga ada pakar ekonomi menjangka negara itu akan terjerumus ke dalam kemelesetan dua angka.

Ini sekaligus meningkatkan perbelanjaan pengguna negara itu.

Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di AS turut memantau perkembangan ekonomi itu, terutama paras pengangguran, yang terus kekal tinggi walau pun kemelesetan, secara teknikalnya berakhir pada musim panas 2009.

Pejabat Biro Tenaga Kerja AS berkata lebih 200,000 pekerja telah diambil bekerja oleh syarikat-syarikat di negara itu pada Disember 2011, yang sekaligus menurunkan kadar pengangguran kepada 8.7 peratus pada November kepada 8.5 peratus pada Disember.

Kadar peningkatan pengambilan pekerjaan pada Disember 2011 telah mengejutkan banyak pihak.

Pakar Ekonomi HSBC New York Kevin Logan berkata laporan Biro Tenaga Kerja itu menunjukkan banyak syarikat sedang mengejar sasaran pengeluaran pada 2011, melalui langkah pengambilan pekerja itu.

Sungguh pun begitu, pejabat Matrade di AS mengambil sikap “tunggu dan lihat.”

Perkembangan terbaharu ini menandakan lebih ramai rakyat AS akan berpindah ke rumah baharu dan meningkatkan permintaan bagi mendapatkan banyak produk dari keluli hingga kepada bahan pembinaan dan alat ganti elektronik dan elektrik serta komponen dan produk lain, seperti kereta, yang akan meningkatkan permintaan bagi alat ganti dan komponen automotif.

Beberapa pameran perdagangan di AS, yang menjadi pengukur kepada industri masing-masing, turut menunjukkan tanda-tanda peningkatan di segi tempahan bagi tempoh suku terakhir 2011, yang “memberikan tanda jelas pemulihan ekonomi.”

Walau wakil kerajaan Malaysia di AS juga akur bahawa Malaysia perlu berusaha keras dan menempatkan dirinya sebagai pembekal utama pelbagai produk yang secara tradisinya banyak terjual di AS.

“Kami tidak boleh berpeluk tubuh tetapi perlu berusaha keras untuk menjual produk kami,” kata Konsul Jeneral Malaysia di New York, Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman kepada Bernama.

Ini bagi melengkapi usaha agensi kerajaan yang lain seperti Matrade.

Bagaimana pun, pihak-pihak yang kurang yakin dengan perkembangan itu, mengingatkan supaya jangan “terlalu mengharapkan” pemulihan segera pasaran tenaga kerja.

Sesetengahnya menyatakan kewujudan permintaan berkenaan adalah kerana ia bermusim, iaitu sebelum dan semasa musim Krismas, khususnya di dalam sektor runcit, yang akan membuang pekerja baharu sebaik musim itu berakhir.

Mereka mengingatkan bahawa walau pun ekonomi telah mewujudkan kira-kira 1.64 juta pekerja, ia masih kurang daripada satu perlima daripada pekerjaan yang dibuang semasa kemelesetan dahulu.

Ketua Federal Bank New York yang juga rakan rapat Ben Bernanke, Bill Dudley berkata langkah-langkah seterusnya perlu diambil untuk membantu ekonomi kerana kadar pengangguran “masih terlalu tinggi.”

Secara keseluruhannya, adalah masih terlalu awal untuk menyatakan trend sekarang adalah satu permulaan yang kukuh atau satu permulaan yang kurang sempurna.

Sungguh pun begitu, banyak pengeksport dari negara Asia, termasuk Malaysia, berharap penurunan kadar pengangguran itu menjadi permulaan kepada pemulihan ekonomi yang kukuh.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");