Perak Hari Ini

TEMAN Gopeng jadi perintis Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)

Empat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) akan diwujudkan di negara ini bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat luar bandar di bawah satu bumbung, sekaligus menjadi nadi penggerak kepada aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan sekitarnya.

Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata sebagai permulaan, Terminal Agribisnes Negara (TEMAN) Gopeng dipilih sebagai projek perintis kepada RTC manakala tiga lagi pusat sama akan dibuka iaitu di Kota Bharu, Kelantan; Tanjung Manis, Johor dan Kuala Kedah, Kedah.

“RTC ini adalah kesinambungan Program Transformasi Luar Bandar yang merupakan program bersepadu diperkenalkan oleh Perdana Menteri di bawah National Blue Ocean Strategy 4.

“Pusat ini akan memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada rakyat luar bandar yang membabitkan penyertaan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

“Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menjadi penggerak utama kepada projek ini selain enam lagi kementerian lain termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

“Setiap kementerian ini akan membuka kaunter masing-masing untuk memberi khidmat kepada rakyat yang tinggal berdekatan pusat ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat TEMAN Gopeng, pagi ini.

Noh menambah, kementerian itu juga bercadang mewujudkan mini RTC bagi memastikan pembangunan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Setakat ini, kita telah mengenalpasti Kuala Linggi, di Melaka untuk dijadikan sebagai mini RTC,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata, melalui khidmat yang ditawarkan, kerajaan berharap agar rakyat luar bandar dapat menikmati kemudahan setanding dengan rakyat yang tinggal di kawasan bandar.

Jelasnya lagi, institusi kewangan juga akan dibuka bagi menawarkan pinjaman yang bernilai bawah RM50,000 tanpa memerlukan cagaran dan penjamin.

“Melalui cara ini, ia dapat memudahkan rakyat luar bandar untuk membuat pinjaman melalui institusi kewangan terpilih seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan AgroBank.

“Kemudahan pinjaman mikro kredit seperti TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut disediakan kepada orang ramai.

“Pusat ini juga akan dilengkapi dengan Klinik 1Malaysia selain turut berperanan mempromosikan makanan tempatan apabila ia beroperasi kelak,” katanya lagi.

Tambahnya, bagi memastikan bekalan makanan negara berterusan, kementerian itu menggalakkan pertanian secara kontrak yang turut berpotensi mewujudkan industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, salah satu bidang IKS yang boleh diceburi ialah membekalkan makanan ternakan seperti ayam, lembu dan ikan yang dijual di pasaran dengan harga yang tinggi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");