Perak Hari Ini

Tiga agenda utama pembangunan akan diketengahkan kepada PM

Tiga agenda utama untuk pembangunan akan diketengahkan semasa lawatan  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Felda Ijok, yang dijadualkan petang esok.

Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin berkata, beliau akan membangkitkan isu yang menghalang pembangunan di kawasan felda pertama diwujudkan di Perak kepada Perdana Menteri.

”Sempena sambutan Jubli Emas Felda Ijok yang dibuka pada tahun 1962, saya minta Perdana Menteri menyelesaikan masalah generasi kedua yang belum mempunyai tempat tinggal.

”Lebih 300 generasi kedua masih tinggal dan mempunyai pekerjaan tetap di sini…jadi saya akan sampaikan isu ini kepada Najib semasa lawatan beliau nanti,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, perkara kedua adalah pembangunan semula Pekan Felda Ijok yang memerlukan nafas baru disebabkan sudah uzur.

Tambahnya lagi, pekan ini wujud sejak 50 tahun lalu dan memerlukan pelbagai penambahbaikan yang sesuai dengan keadaan semasa.

Jelasnya, sekiranya pekan ini dibangunkan semula, ia akan memberi sumber ekonomi kepada penduduk sekitar kawasan ini.

”Limpahan ekonomi akan hadir sekiranya pekan ini dibangunkan semula…isu ketiga adalah permohonan menaiktaraf padang bola sepak Felda Ijok kepada sebuah stadium mini,” katanya.

Menurutnya, kemudahan sukan seperti padang harus dipertingkatkan bagi mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini kerana, terdapat ramai bakat muda yang berpotensi diketengahkan tetapi kekurangan kemudahan sukan telah menjejaskan usaha tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");