Perak Hari Ini

Tiga draf RT dipamer, rakyat disaran beri pandangan

Rakyat Perak khususnya di Daerah Hilir Perak, Kuala Kangsar dan Kerian kini berpeluang turut serta dalam merancang pembangunan negeri dengan memberi pandangan dan bantahan terhadap kandungan Draf Rancangan Tempatan (RT) 2020 yang dipamerkan sehingga 27 Januari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Semenanjung Malaysia telah merangka RT 2020 yang membabitkan ketiga-ketiga daerah itu yang memerlukan penyertaan dan input daripada rakyat tempatan.

Draf itu katanya, disediakan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) bagi memenuhi aspirasi rakyat terutamanya dalam merancang pembangunan untuk generasi hadapan dengan mengambil kira penyediaan kemudahan asas, sosial dan prasarana yang lengkap.

Ia juga tegasnya, selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan pembangunan negeri yang mapan melalui keseimbangan aspek fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Draf Rancangan Tempatan untuk ketiga-tiga majlis daerah ini merupakan yang terakhir dilancarkan dan kita memerlukan maklumbalas dan input daripada semua pihak terutamanya orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGOS) terhadap perancangan pembangunan yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Secara Serentak Tiga Draf Rancangan Tempatan Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JPBDSM, Dr Dahlia Rosly dan Pengarah JPBD negeri Perak, Dr Dolbani Mijan.

Hang Soon berkata, segala bantahan  atau cadangan terhadap ketiga-ketiga draf RT itu akan didengar serta dipertimbangkan dalam penggubalan dasar pembangunan di daerah terbabit.

Tambahnya, orang awam juga berhak mengambil bahagian di dalam perancangan ini kerana ia akan menghasilkan implikasi yang besar terhadap kehidupan sejagat.

“Kita jangka pada penghujung tahun ini, setiap inci tanah di negeri Perak akan dapat diwartakan melalui draf RT yang disediakan oleh JPBD.

“Oleh itu, kerajaan negeri berharap rakyat di daerah berkenaan dapat bekerjasama dengan memberi iput berkaitan perancangan pembangunan yang dicadangkan dengan mengunjungi pejabat Majlis Daerah atau melayari laman web www.townplan.gov.my,” katanya lagi.

Tegasnya, berdasarkan kepada program publisiti RT sebelum ini, sambutan yang diterima penduduk bandar lebih menggalakkan berbanding yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Sebagai contoh, apabila draf RT Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dipamerkan kepada umum, sambutan yang diterima daripada wargakota cukup baik berbanding dengan maklumbas yang diterima oleh Majlis Daerah Batang Padang,” katanya lagi.

Sementara itu, Dolbani berkata, selain menerima pandangan atau bantahan daripada orang awam, pihak majlis daerah juga akan mengadakan sesi dialog bersama wakil parti politik utama seperti UMNO, MCA dan MIC.

Ditanya sambutan terhadap ketiga-tiga draf RT itu sejak dipamerkan, beliau berkata, pihaknya menerima banyak maklumbalas daripada orang awam dan ia dijangka bertambah sebelum tempoh yang ditetapkan berakhir pada 27 Januari nanti.

Draf itu katanya, dipamerkan kepada orang awam di JPBD dan ketiga-ketiga pejabat pihak berkuasa tempatan berkenaan bermula sejak 28 Disember lalu dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");