Perak Hari Ini

Wanita BN Perak tidak terdesak untuk penuhi kuota

“Wanita Umno memang mahu kuota 30 % itu tapi sekiranya calon yang dipilih itu semata-mata untuk tujuan memenuhi kuota dan langsung tidak ada ciri-ciri ‘winnable’ lebih baik tak payah”

Demikian kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Umno Perak, Datuk Rusnah Kassim ketika mengulas mengenai senarai calon wanita parti itu untuk pilihanraya akan datang.

Selain itu menurut Rusnah, Wanita Barisan Nasional (BN) Perak setakat ini telah menyenaraikan nama-nama untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang dan ia sudah pun dikemukakan pada pucuk pimpinan tertinggi negeri.

Malah katanya, untuk pilihanraya akan datang senarai calon yang diberi melebihi jumlah nama yang diserahkan bagi pilihan raya sebelum ini.

“Kita bukanlah terdesak sangat untuk menuntut atau memenuhi kuota 30 peratus yang dipersetujui oleh kepimpinan atasan tetapi adalah lebih baik untuk memilih calon-calon yang boleh menang daripada merebut kuota itu.

“Perlu kita ingat ada kriteria tertentu yang membolehkan seseorang wanita daripada parti dipilih menjadi calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dan kita faham sekiranya kepimpinan tertinggi merasakan ada calon lelaki lain yang lebih layak.

Bagaimanapun jelas beliau, bagi Wanita BN Perak, setakat ini beberapa calon telah kenalpasti dan nama-nama itu telah kita hantar kepada pimpinan atasan.

“Seperti yang kita cakapkan dulu, kita memang mahukan kuota 30 peratus tapi kita tidak terdesak. Kalau kita mahukan kuota itu sedangkan tidak layak, tidak ada guna juga. Kita mahukan calon wanita yang layak dan berupaya menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Rusnah yang merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta turut menyatakan calon-calon Wanita yang telah dikenalpasti untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti adalah berdasarkan calon boleh menang dan pemilihan diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk menilai mereka serta memuktamadkannya.

Beliau berkata dalam membuat pemilihan calon, parti juga perlu mengkaji suasana realiti politik masa kini dan turut meneliti siapakah calon pihak lawan.

“Kita mahu pastikan calon wanita yang dipilih itu benar-benar layak dan bukanlah dipilih semata-mata untuk memenuhi kuota, justeru mereka perlu menunjukkan kebolehan diri sendiri untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana seseorang yang dipilih menerusi majoriti undi perlu sentiasa berjumpa segenap lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata kelima-lima wakil rakyat Wanita BN di Perak yang menang pada pilihan raya umum lepas adalah dikekalkan kerana mereka sangat bekerja kuat dan sememang wajar dikekalkan.

Kelima-lima wakil rakyat Wanita BN yang menang di Perak pada pilihan raya umum lepas ialah beliau (Adun Hulu Kinta), Nolee Ashilin Mohd Radzi (Adun Tualang Sekah), Datuk Hamidah Osman (Adun Sungai Rapat), Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Adun Kampung Gajah) dan Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Adun Chenderoh).

“Nama untuk calon MIC dan MCA juga kita telah serahkan, itu daripada parti masing-masing yang diserahkan kepada Wanita BN dan kita diketengahkan,” katanya.

Wanita BN perlu bekerja kuat dan sentiasa beringat bahawa mereka juga adalah rakyat yang perlu diselsaikan masalahnya.

“Kita perlu selami masalah rakyat, kerja dan tanggungjawab sama seperti wakil rakyat lelaki dan kita perlu kerja lebih kuat. Sebab itu saya cakap, kuota Wanita BN itu perlu menepati syarat-syaratnya di mana dia perlu mampu laksana tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");