Membawang Hari Ini
Like

‘Kami dilagakan’

February 27, 2012
383 Views
0 Comments
6 minutes read
‘Kami dilagakan’

JIKA sebelum ini, kecoh mengenai berita Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik, bakal meletakkan jawatan. Terbaru nama timbalannya, Zed Zaidi pula menjadi panas. Menerusi sebuah portal hiburan, Zed dikatakan sedang sibuk melobi ahli-ahli persatuan untuk merampas takhta Harun.

Malah jika diperhatikan, banyak program-program Seniman diterajui pelakon Sembilu itu sehingga dituduh ‘gila kuasa’. Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini? Ikuti penjelasan lanjut Zed berkaitan isu berbangkit ini:

ZASS: Anda sedar mengenai dakwaan ini?
ZED ZAIDI: Saya dah tahu mengenai perkara ini sejak dua minggu lalu. Tapi saya lebih selesa mendiamkan diri. Biarlah orang yang tidak bertanggungjawab ini terus menyebarkan fitnah, asalkan saya tahu kedudukan saya sebenar.

ZASS: Boleh anda jelaskan situasi sebenar?
ZED ZAIDI: Sejujurnya, saya tidak pernah cuba untuk menentang kepimpinan Presiden dan hubungan saya dengan abang Harun sangat baik. Cuma spekulasi liar sebegini sesiapa juga boleh buat kerana mereka berniat untuk melagakan Presiden dan timbalannya. Jika benar ada pemilihan selepas ini, saya tetap akan menyokong abang Harun kerana dia merupakan Presiden yang baik.

ZASS: Bagaimana pula dengan dakwaan ‘melobi’ ahli-ahli lain?
ZED ZAIDI: Saya sendiri belum terfikir untuk menerajui sesebuah persatuan. Malah saya kini pun, di bawah Biro Seniman Muda sedang sibuk menjalankan BN Youth dan saya tidak ada masa untuk melobi mana-mana pihak supaya menyokong saya sebagai Presiden kelak. Ini semua tidak benar.

ZASS: Apakah benar anda selalu menerajui program Seniman tanpa Harun?
ZED ZAIDI: Kalau soalan ini merujuk pada program BN Youth, memang ia di bawah tugas saya sebagai Biro Seniman Muda. Tetapi jika program lain, saya tidak pernah membelakangkan Harun. Namun sekiranya Harun sibuk dengan karier seninya, saya akan mewakilinya. Sebagai contoh, sekarang Harun sibuk dengan pementasan teater Cuci The Muzikal, jadi saya akan membantunya menguruskan hal-hal Seniman.

ZASS: Adakah anda tahu siapa dalang yang menyebarkan dakwaan ini?
ZED ZAIDI: Saya tahu ada pihak-pihak tertentu yang sengaja melagakan saya dan abang Harun. Tetapi saya tak nak besar-besarkan perkara ini. Seperti yang saya katakan, hubungan saya dan abang Harun memang baik. Saya tidak mahu berita-berita yang tidak berasas ini, merosakkan hubungan kami kelak.

ZASS: Bagaimana sekiranya jawatan Presiden menjadi milik anda kelak?
ZED ZAIDI: Setakat ini, saya tak pernah terfikir mengenai perkara ini. Apa yang penting, buat masa ini saya hanya melaksanakan tugas yang diberikan sebaik mungkin. Saya bukannya ‘gila kuasa’.

ZASS: Apa komen Zed mengenai lambakan persatuan yang ada dalam industri kini?
ZED ZAIDI: Sebenarnya saya tidak bersetuju dengan pelbagai persatuan yang ada di dalam industri kini. Lambakan persatuan seperti sekarang menunjukkan kita di dalam industri ini tidak bersatu. Malah bagi pihak-pihak tertentu yang berhasrat membuka persatuan baru, bagi saya hentikan sahaja.

Sebenarnya tujuan mereka membuka persatuan hanyalah kerana jika sesuatu perkara yang mahu mereka lakukan tidak dipersetujui, mereka bertindak keluar dari persatuan. Bagi saya, kalau boleh, biarlah dari penerbit hingga krew berpayung di bawah satu persatuan. Jika ada perkara berbangkit, dan berada di dalam satu persatuan, kita boleh menyuarakan hasrat kita sekali gus ada ‘team’ yang kuat. Jika orang ini bawah persatuan ini, orang itu bawah persatuan itu, maka bila ada perkara yang berbangkit, kita susah untuk perjuangkan hak yang kita mahu.

ZASS: Bagaimana pula dengan sesebuah persatuan yang ‘hidup segan mati tak mahu’, serta digunakan untuk kepentingan sendiri?
ZED ZAIDI: Bagi saya jika ada sesebuah persatuan yang sudah ‘tenat’, ia sebenarnya terpulang pada pentadbiran mereka. Macam saya, saya jaga persatuan saya. Jadi secara tidak langsung bila ada aktiviti yang dilakukan, tidaklah persatuan itu nampak hanya tunggu masa untuk berkubur.

Bukan untuk mendabik dada, Biro Seniman Muda yang terlibat dalam penganjuran, BN Youth, pada 3 dan 4 Mac, adalah salah satu cara kami dalam Seniman menjaga supaya persatuan ini sentiasa hidup. Lebih membanggakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan turut serta dalam program ini. Malah kami juga berhasrat untuk menyerahkan memorandum yang bakal membela nasib selebriti di Malaysia. Berkenaan persatuan untuk kepentingan sendiri, saya rasa ‘pandangan’ negatif itu harus diperbetulkan.

Saya tidak mengata pada persatuan lain, saya bagi contoh pada Seniman sendiri. Orang hanya nampak kami muncul memberi bantuan bila ada artis lain yang sakit. Tapi hakikatnya bila ada aktiviti lain yang dilakukan persatuan, media tidak memberi publisiti. Jadi bagaimana orang luar akan tahu mengenai aktiviti kami. Jadi tidak adil kami dinilai sebegitu.

ZASS: Sebagai orang penting dalam Seniman, apakah perubahan yang anda ingin lakukan demi seluruh karyawan seni?
ZED ZAIDI: Jika saya terus diberi kepercayaan kelak, saya mahu memperjuangkan nasib para pelakon untuk mendapatkan imbuhan royalti seperti yang diperoleh penyanyi dan komposer kini. Saya akan cuba usaha dan memperjuangkan nasib para pelakon, pengarah untuk mendapatkan hak mereka sekiranya, produk drama, atau pun filem mereka ditayangkan berulang-ulang kali di kaca TV.

Saya lihat kini, ada pihak bagai cuba mengambil kesempatan dengan memberi bayaran yang semakin murah. Semakin hari, semakin rendah dan rendah tanpa memikir nasib kami.
Inilah cita-cita saya untuk memperjuangkan nasib para artis kelak sekiranya diberi peluang.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply