Membawang Hari Ini
Like

Azura 2012 Dapat Respons Baik Daripada Golongan Profesional

February 12, 2012
81 Views
0 Comments
1 minute read
Azura 2012 Dapat Respons Baik Daripada Golongan Profesional

FILEM drama romantik, Azura 2012 telah berjaya mengutip hampir RM1 juta sejak ditayangkan pada 2 Februari lalu di 65 buah pawagam tempatan.

Menurut pengarahnya, Aziz M. Osman, kebanyakan penonton yang telah menonton filem itu memberikan respons yang positif lebih-lebih lagi daripada golongan profesional.

“Saya bersyukur dengan apa yang diperoleh. Cuma yang menggembirakan saya adalah kebanyakan yang menonton Azura 2012 adalah daripada kalangan golongan profesional.

“Berdasarkan respons yang diberi, mereka mengatakan Azura 2012 mempupuk aura positif dalam diri seseorang itu. Malah kata salah seorang peguam yang telah menonton filem ini, garapan kisah cinta Azura nampak lebih realiti dan dia berkata Azura 2012 antara filem romantik Melayu yang bagus,” katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Aziz M. Osman (kiri) bersama barisan pelakon-pelakon Azura 2012.

Azura 2012 adalah filem arahannya ke-23. Kali terakhir anak sulung kepada pasangan pelakon veteran M. Osman dan Afida Es ini muncul dengan filem arahannya adalah menerusi Senario Pemburu Emas Yamashita pada 2006.

Filem Azura 2012 yang menggandingkan Neelofa, Shahrizal Jaszle, Afdlin Shauki, Erma Fatima, Nini Marlini dan Afida Es ini menelan kos perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta.

Diterbitkan Ace Motion Pictures Sdn Bhd, filem ini akan mula ditayangkan di lebih 70 pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 2 Februari ini.

Melihat kepada sambutan penonton, Aziz menyasarkan filem ini dapat dilanjutkan tayangannya selama yang mungkin.

-mStar Online

Komen & Pendapat

Leave a Reply