Membawang Hari Ini
Like

Darah Manis

February 12, 2012
205 Views
0 Comments
4 minutes read
Darah Manis

KHABAR gembira pasangan sejoli ini bakal mendirikan rumah tangga bukan sekadar spekulasi, kerana baik Lisa Surihani mahupun Yusry Abdul Halim, kedua-duanya memilih untuk mengadakan sidang media bagi berkongsi momen indah dengan semua pihak secara adil.

Disunting pada 23 Disember dan bakal mendirikan rumah tangga 23 Februari ini, gadis yang lahir pada 23 Mac ini menjelaskan bukan sengaja memilih angka 23 untuk dijadikan tarikh keramat, tetapi semua itu berlaku secara kebetulan.

Tidak seperti pasangan lain, Lisa mengakui belum lagi merasa darah gemuruh yang biasanya dialami bakal pengantin menjelang hari bahagia mereka, sebaliknya bersyukur kerana akan melalui kehidupan baru dengan seorang lelaki yang disifatkan melengkapi hidupnya.

“Kalau rasa debaran, gemuruh mungkin Lisa belum lagi merasai semua itu. Mungkin menjelang harinya kelak baru Lisa akan merasai semua itu. Malah semasa rombongan lelaki menghantar tanda pada Disember lalu, Lisa juga tidak gemuruh atau berdebar.

“Cuma Lisa bersyukur kerana dikurniakan bakal suami yang baik, bertanggungjawab, mengambil berat. Pendek kata, Lisa bersyukur kerana Yusry akan melengkapi hidup Lisa kelak,” katanya.

Yusry banyak membantu
Menyentuh mengenai persiapan perkahwinannya, Lisa berkata, segalanya persiapan sudah memasuki fasa terakhir dan dia senang hati apabila Yusry turut mengambil bahagian dan memberi pendapat mengenai persiapan mereka.

“Biasanya kalau urusan persiapan, lelaki jarang ambil bahagian dan serahkan kepada pihak perempuan untuk membuat keputusan dan merencana segalanya. Tetapi berlainan dengan Yusry, dia banyak membantu dari A ke Z.

“Malah semasa perbincangan dengan perancangan perkahwinan, Yusry yang banyak bersuara. Kadang-kadang, Lisa beri pendapat manakala Yusry akan buat keputusan dan menyatakan pendapatnya apa yang sesuai, apa yang kami mahu.

“Tidak sekadar untuk majlis, Yusry juga dapat menjenguk dan memberi pandangannya dalam hal pengapit pihak perempuan dan Lisa rasa sangat senang hati bila bakal suami Lisa ambil berat tentang persiapan kami,” katanya.

Lisa berkata, seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini, dia mahu majlis berlangsung sederhana, tetapi meriah. Justeru, hanya dua pasangan baju yang akan direka untuk hari bahagianya itu iaitu sepasang untuk majlis akad nikah dan sepasang lagi untuk majlis resepsi.

“Sejak awal lagi, Lisa memang sudah katakan Lisa mahu serba sederhana. Jadi Lisa memang tak terfikir nak buat beberapa persalinan dan cukuplah sekadar baju akad nikah dan resepsi.

“Dari segi tema, kami tidaklah buat satu tema khusus, sebaliknya kami hadkan warna tema untuk baju dan pelamin. Kami juga memilih suasana French Vintage Inspired by Mary Antoinette untuk majlis resepsi,” katanya.

Terus aktif

Dalam keterujaan bercerita mengenai persiapannya itu, Lisa tidak dapat menyembunyikan rasa rindunya terhadap arwah bapanya, Mohamed Mahbob yang meninggal dunia empat tahun lalu.

“Dalam menghitung detik hari bahagia, Lisa sering terfikir, kalaulah daddy ada, mesti lagi seronok. Malah semasa keluarga Yusry menghantar tanda, Lisa juga terfikir, kalaulah daddy ada, mesti daddy juga sukakan Yusry.

“Lisa memang sangat rindu kerana arwah daddy tak sempat melihat hari bahagia Lisa,” katanya.

Enggan terus melayan perasaan, Lisa berkata, jika masih ada tawaran lakonan, dia tetap akan terus aktif dalam bidang seni. Malah Yusry juga sudah memberi pelepasan untuk dia kekal aktif selepas berkahwin.

“Lisa dan Yusry akan bercuti selama dua minggu selepas resepsi dan balik dari cuti kami sama-sama ada kerja yang perlu dilakukan.

Lisa terlibat penggambaran filem Tingkat Empat manakala Yusry akan sibuk dengan post produksi beberapa filem KRU yang akan ditayangkan, termasuk Vikingdom dan Ular.

“Tetapi jika selepas itu, ada tawaran menarik, Lisa tidak keberatan untuk terus aktif dalam bidang seni dan Lisa juga masih ada beberapa projek bersama Astro dan juga terikat bersama Digi, Garnier dan Sofy,” katanya.

-SINAR HARIAN

Leave a Reply