Sukan Hari Ini
Like

FAM akan bertindak

February 20, 2012
122 Views
0 Comments
2 minutes read
FAM akan bertindak

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan bertindak lanjut sebaik sahaja Chris Eaton menjawab surat tuntutan penjelasan berhubung dakwaannya pegawai FAM turut terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, buat sementara pihaknya masih hanya mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’ walaupun beliau mengakui turut dihubungi oleh akhbar Singapura, The Straits Times yang menyiarkan laporan dakwaan Eaton itu pada minggu lalu.

“Buat sementara ini, biar kami tunggu jawapan Eaton, baru FAM akan menilainya dan mengambil langkah susulan walaupun saya menganggap kenyataannya sebagai amat mengecewakan kami,” katanya selepas Majlis Pelancaran Persatuan Bola Sepak Nuha (Nuha FA) di Kompleks Penyayang Bakti, Bandar Sri Damansara, semalam.

FAM dalam kenyataan media, minggu lalu, menyebut, surat tuntutan penjelasan sudah dihantar kepada bekas Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu sambil menyatakan rasa kesal mereka selain mahukan bekas pegawai FIFA yang meletak jawatan Jumaat lalu untuk menyertai Pusat Antarabangsa Untuk Keselamatan Sukan di Qatar, memberikan bukti jika dakwaannya itu berasas.

Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM turut merumuskan persaingan kalah mati kebangsaan, Piala FA 2012 yang bermula Jumaat lalu sebagai tidak mempunyai banyak kejutan kecuali juara Piala Malaysia 2011 dan Piala Sultan Ahmad Shah, Negeri Sembilan yang dipintas Johor FC 2-1 di Seremban.

“Ia boleh dianggap sedikit kejutan walaupun kedua-duanya daripada liga yang sama (Super) sementara perlawanan lain, pasukan pilihan masing-masing menepati ramalan dengan menewaskan lawan yang berlainan liga (Liga Super, Perdana dan FAM),” katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Sementara itu, Nuha FA mengambil daya usaha aktif dalam membantu meningkatkan pembangunan bakat muda baru bola sepak negara menerusi penubuhan pasukan bawah 17, 15, 12 dan 10 tahun bagi penduduk sekitar Bandar Sri Damansara, Damansara Damai, Bandar Bukit Manjalara dan Sungai Penchala.

Kata Presidennya, Mohd. Ramzan Mansor: “Persatuan ini diasaskan sejak Disember lalu dan sudah berjaya mengumpul 80 pemain dengan yuran hanya RM30 sebulan. Kami juga mendapat tunjuk ajar teknikal jurulatih ternama seperti Subadron Aziz dan Lim Kim Swee selain pernah menghantar pasukan bawah 10 yang mara ke suku akhir Liga PNSB, baru-baru ini.”

-Utusan-

Komen & Pendapat

Leave a Reply