Berita Hari Ini

Harapan BN tebus Kelantan cerah

2 FEB. 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan warga pendidik pada Program Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan di Kompleks YKK, Peringat, Kota Bharu. - UTUSAN

UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan yang cerah untuk menebus kekalahan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sekiranya gerak kerja jentera parti terus ditingkatkan dan pemimpin di semua peringkat pula mengekalkan perpaduan erat sesama mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melahirkan keyakinan bahawa BN mampu menambah bilangan kerusi, mengambil kira UMNO Kelantan yang sudah fokus dalam gerak kerja mereka.

Beliau berkata, berdasarkan pertemuannya dengan pimpinan UMNO dan BN negeri sempena lawatan kerja sehari ke negeri ini, ternyata mereka sudah mengatur strategi selain mengenal pasti kawasan-kawasan yang boleh dimenangi.

Justeru katanya, UMNO dan BN Pusat akan cuba mencari jalan untuk membantu BN negeri mencapai kejayaan seperti diharapkan.

“Saya yakin kalau usaha yang telah dibuat sekarang ini diteruskan dan ditingkatkan lagi, kita mempunyai harapan yang agak cerah untuk menebus kekalahan di beberapa tempat, menambah bilangan kerusi, tetapi ada usaha yang perlu ditingkatkan lagi sebelum kita rasa lebih yakin dapat tebus kekalahan di Kelantan secara keseluruhan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan 2012 yang dihadiri lebih 2,000 guru di Dewan Tun Ghafar, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

BN kini menguasai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang kesemuanya berjumlah 45 kerusi.

Ditanya sama ada beliau ada membincangkan soal calon pada pertemuan dengan pimpinan UMNO dan BN negeri itu, Muhyiddin berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan dan ia akan diputuskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambahnya, ini termasuk kemungkinan mengumumkan lebih awal calon-calon yang bertanding khususnya di negeri-negeri dikuasai pembangkang.

“Yang lebih utama sekarang ini kita fokus kepada gerakan jentera BN di semua peringkat, bahagian, Parlimen dan pusat mengundi,” katanya.

Mengenai kehadiran Tengku Razaleigh Hamzah pada pertemuan tersebut, Muhyiddin berkata, beliau menghargai kehadiran Ketua UMNO Gua Musang itu yang telah memberikan beberapa cadangan serta pandangan untuk memantapkan parti.

Sementara itu, Tengku Razaleigh ketika ditemui menafikan beliau memboikot Badan Perhubungan UMNO Kelantan selepas gagal menghadirkan diri dalam beberapa mesyuarat sebelum ini.

“Saya tidak hadir mesyuarat bukan sebab tidak mahu hadir, tetapi saya terima surat jemputan lewat. Kadang-kadang saya terima sehari selepas mesyuarat dan kadang-kadang sehari sebelum, kenapa saya nak boikot, saya bukan ahli mogok,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");