Perak Hari Ini
Like

Isu tanah SJKT Gunung Rapat: Gimik pembangkang menjelang PRU-13, kata Hamidah

February 17, 2012
401 Views
0 Comments
3 minutes read
Isu tanah SJKT Gunung Rapat: Gimik pembangkang menjelang PRU-13, kata Hamidah

Isu tanah SJKT Gunung Rapat adalah sebahagian daripada gimik pihak pembangkang bagi meraih sokongan rakyat terutamanya kaum India menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Exco Kanan negeri Perak, Datuk Hamidah Osman.

Beliau berkata, secara dasarnya, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan isu pendidikan tanpa mengira kaum.

“Pihak pembangkang yang diketuai Adun Tronoh, S Sivakumar mahu menjadi juara rakyat dengan meniupkan semangat perkauman dalam isu tanah yang dipohon oleh SJKT Gunung Rapat.

“Ini adalah semata-mata gimik politik Sivakumar untuk memancing undi sedangkan masalah kuil di kawasan sendiri tidak pula diselesaikan sebaliknya mahu menjadi hero di luar kawasan.

“Selain itu, dalam tempoh 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak, apakah kejayaan yang dicapai parti pembangkang dalam memperjuangkan pendidikan kaum India dan adakah beliau (Sivakumar) bangun atau lantang memperjuangkan perkara itu sama seperti yang dilakukannya hari ini,” katanya.

Terdahulu, Hamidah dan Penasihat Menteri Besar dalam Hal Ehwal Kaum India, Datuk S Veerasingam mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Gunung Rapat di Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK) di Ipoh, petang tadi.

Mengulas lanjut, Hamidah berkata, permohonan tanah seluas dua hektar di kawasan Ampang itu telah dikemukakan pihak PIBG pada Mei tahun lalu.

“Saya yakin permohonan ini akan diluluskan dan ketika ini kita perlu menunggu laporan daripada jabatan tertentu sebelum ia dibangkitkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

“Dalam masa dua bulan, kita harap masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Veerasingam pula berkata, di bawah pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sejumlah 800 hektar tanah diluluskan untuk tujuan pendidikan dan pembangunan sekolah Tamil di negeri Perak.

“Sivakumar bijak mengambil kesempatan dan mahu berlagak seperti juara rakyat dengan sengaja mempolitikkan isu tanah itu bagi meraih sokongan kaum India.

“Rakyat perlu sedar bahawa selama ini kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak telah menjaga kepentingan semua sekolah termasuklah sekolah Tamil.

“Jaminan juga diberi oleh Hamidah bagi memastikan proses permohonan tanah untuk SJKT Gunung Rapat ini dapat disegerakan sebelum dibangkitkan dalam MMK,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua PIBG sekolah, N Periasamy, berkata pihaknya gembira di atas campur tangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah itu.

Namun, ibu bapa katanya, berharap masalah itu dapat diselesaikan segera demi masa depan lebih 200 murid sekolah berkenaan.

“Kita mahu melihat perjanjian hitam putih antara kerajaan negeri dan PIBG berhubung kelulusan tanah itu dan jika itu dapat dilaksanakan, semua pihak terutamanya ibu bapa pasti akan gembira,” katanya lagi.

Komen & Pendapat

Leave a Reply