Berita Hari Ini
Like

Kaji Semula Akta Peniaga Barang Terpakai 1946 – Persatuan Peniaga Kereta Terpakai

February 22, 2012
671 Views
1 Comments
1 minute read
Kaji Semula Akta Peniaga Barang Terpakai 1946 – Persatuan Peniaga Kereta Terpakai

Persatuan Peniaga Kereta Terpakai dan Syarikat Kredit Selangor dan Kuala Lumpur meminta Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji semula Akta Peniaga Barang Terpakai 1946 yang mengkategorikan kereta terpakai sebagai barang-barang lusuh.

Presidennya, Khoo Kah Jin berkata disebabkan perkara itu, sehingga kini 70 peratus hingga 80 peratus penjual kereta terpakai masih tidak mendapat permit daripada PDRM kerana pihak berkuasa itu membekukan pengeluaran permit barang lusuh sejak enam tahun lalu.

Kereta terpakai tidak sepatutnya dikategorikan sebagai barang-barang lusuh kerana ia mempunyai nombor casis dan nombor enjin yang berlainan, katanya.

“Mereka (penjual kereta terpakai) tidak dapat menjalankan perniagaan sehingga sekarang kerana selagi tidak mendapat permit (daripada polis), mereka tidak boleh mendaftar dengan majlis (kerajaan) tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk berniaga,” katanya.

Khoo berkata amat malang permit yang dikeluarkan polis kepada penjual kereta terpakai merupakan permit perniagaan barang-barang lusuh yang secara tidak langsung mengkategorikan kereta terpakai sebagai barang-barang lusuh.

“Menurut Akta Peniaga Barang Terpakai 1946, kereta terpakai dikategorikan sebagai barang-barang lusuh. Apabila pihak polis membekukan pengeluaran permit barang lusuh, secara tidak langsung perniagaan kereta terpakai terjejas,” katanya pada sidang akhbar bersama Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam Gerakan di sini, Rabu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat