Membawang Hari Ini
Like

Kaka kekasih dalam lagu Zizan

February 12, 2012
336 Views
0 Comments
7 minutes read
Kaka kekasih dalam lagu Zizan

DENDANGAN bait lagu cinta, bawa aku pergi, pacu laju-laju, kita lari dari realiti mudah sahaja masuk ke carta hangat dan mula intim sebagai halwa telinga. Pesona irama serta paduan suara itu pantas membidik rasa ingin tahu, siapa gerangan pemilik suara di sebalik nama. Zizan sudah cukup dikenali tapi regunya Kaka, masih dalam usaha menembusi tembok populariti.

Sepintas lalu, nama Kaka pasti dikaitkan dengan pemain bola sepak dan kalaupun gadis, pasti orangnya lincah atau berkarakter maskulin. Kaka tersenyum sambil cuba menahan bibir daripada ternganga lebar. Orangnya masih kelihatan manis walaupun pendakap gigi yang dipakainya sejak beberapa tahun itu masih melekat kemas.

“Dah lama saya pakai pendakap gigi,” ujar Kaka tergelak saat diusik Zizan.

“Awak ni kan,” sampuk Zizan berseloroh. Itu ayat menyakat oleh Zizan jika mahu kekasih dalam lagunya itu melentok lebih manja.

Canda antara Zizan dan Kaka kelihatan mesra, semesra nada R&B serta soul yang basah dalam lantunan Bawa Aku Pergi, judul yang menjadi debut penyatuan Kaka dan Zizan di pentas nyanyian.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, sudah menyanyi sejak kecil namun cuma tahun ini dia berpeluang merakam suara. Di sisi Zizan yang punya profil kukuh – pelawak, pelakon serta pengacara, Kaka tidak boleh lari daripada dituduh sebagai menumpang populariti.

“Saya tiada niat untuk menumpang populariti Zizan, kalau saya mahu menumpang populariti orang lain, sudah lama saya buat perkara itu. Kalau boleh, saya memang mahu berdiri sendiri tetapi ‘lamaran’ Zizan yang terlebih dahulu menyunting saya.

“Selama ini saya tunggu lagu yang sesuai. Bila Zizan nyatakan hajatnya, saya terima sebab sangat tertarik dengan melodi lagu berkenaan. Sekali dengar sahaja, terus melekat. Sesiapapun tidak menolak peluang baik,” kata Kaka.

Menelaah Kaka secara harfiah, sepertinya wanita berusia 23 tahun itu ada sejarah tersendiri dalam arus muzik. Dia kemas menyimpan masa silamnya, pertalian yang mengaitkan dirinya dengan seseorang, satu nama besar dalam industri.

“Buat masa ini, biarlah orang kenal saya dengan nama Kaka, dengan lagu Bawa Aku Pergi. Siapa saya dan bagaimana saya masuk dalam dunia nyanyian, biarlah kolaborasi saya bersama Zizan yang menjadi titik mula,” katanya ringkas, masih ragu-ragu penerimaan peminat muzik terhadap kemunculan sulungnya.

Mula menyanyi sejak berusia lapan tahun, cita-cita Kaka untuk meneruskan minat ke lapangan nyanyian arus perdana semakin serius usai tamat persekolahan.

“Tapi saya sedar, sebelum ini saya tidak cukup persediaan, tak yakin dengan penampilan saya,” lenturnya perlahan, mengakui memiliki potongan badan yang sedikit berisi sebelum ini.

Bina empayar

Bekerja dengan Zizan dan Malique selaku komposer single berkenaan, Kaka mendakwa ia satu proses yang mengujakan. Banyak perkara yang ditelusuri, dipelajari, dan diserap masuk ke jiwa sebelum diluahkan ke dalam bait-bait yang cukup santai tetapi penuh jiwa.

“Zizan suka buat lawak, tak habis-habis mengusik sahaja kerja dia, dia buat semua orang tidak tertekan dan dapat bekerja dengan ceria. Sepanjang bekerja, kami tidak ada pengalaman pahit,” kata Kaka yang merancang untuk muncul dengan single sendiri tapi bukan dalam tempoh terdekat.

Sebagai orang baharu katanya, dia mahu menilai pasaran terlebih dahulu. Biar orang kenal, barulah timbul rasa cinta, katanya.

Tiada siapa sangka anak muda kelahiran Terengganu yang dicungkil bakat melalui program Raja Lawak itu menyinar sejauh sekarang.

Tidak perlu lagi diperkenalkan sebagai pelakon dan pelawak, Zizan atau nama sebenar, Mohd. Razizan Abdul Razak semakin serius di pentas nyanyian. Duet bersama Dina menerusi lagu Selamat Tinggal, menjadi tiket kepada Zizan. Sementelah katanya, syarikat miliknya, Wirefame Entertainment yang ditubuhkan tahun lepas menjadi bukti kesungguhannya membina empayar sendiri.

“Ini bukan projek eksperimental tapi kebetulan saya memang sedang fokus untuk mengembangkan operasi syarikat dan ada artis bawah naungan sendiri.

“Nyanyian itu salah satu cabang seni dan tak salah untuk saya buat semua benda, semuanya untuk kekal stabil dalam bidang ini,” ujar Zizan mengenai anjakan demi anjakan yang dilalui.

Dalam proses untuk menyiapkan klip video untuk lagu berkenaan, Zizan yang bakal muncul dengan filem terbaharunya Cinta Kura-Kura, pada Mac nanti yakin dengan keputusannya memilih Kaka sebagai teman duet.

LAMARAN Zizan satu bonus buat Kaka yang sedang mencari-cari produk awal untuk muncul sebagai penyanyi.


“Mulanya terfikir dan mencari-cari artis mana yang sesuai untuk menyanyikan lagu berkenaan, daripada ambil penyanyi yang sudah ada nama, baik saya cari artis baharu. Ada pula teman-teman yang petik nama Kaka, kata mereka, suara Kaka unik,” cerita Zizan.

Tabah Zizan: “Nyanyian satu benda baharu yang sangat positif buat saya. Asalnya, saya bukan mahu jadi penyanyi, suara saya bukannya sedap sangat untuk menyanyi solo. Saya cuma nak jadi rapper dan suka bahagian ‘rapping’ sahaja, sebab itu saya memerlukan penyanyi lain untuk menyanyikan bahagian-bahagian lain.”

Lawak Ke, Der?

Zizan pernah dikaitkan dengan pelakon Juliana Evans yang sedang menuntut di Amerika Syarikat. Jauh di mata namun pada sangkaan ramai mereka berdua ada pautan istimewa yang sedang istimewa. Tidak putus-putus dikatakan sedang bercinta, tidak bosankah Zizan dengan persoalan itu.

“Saya tak pernah bosan sebab orang lain yang bertanya, sebagai artis, saya cuma menjalankan tugas. Saya dan Juliana memang rapat, rapat sebagai kawan.

“Sampai sekarang, saya memang tiada kekasih, betul. Kalau ada, nanti saya cakap. Kalau kawan saya cakap kawan, kalau dah ada deklarasi nanti, saya beritahu,” nakal cara Zizan meleraikan persoalan.

Sedang sibuk Raja Lawak musim keenam dan pementasan hari terakhir bersama Johan untuk Lawak Ke Der? di Istana Budaya, Zizan gembira dengan sambutan peminat. Katanya, biarlah sokongan itu berterusan untuk filem Cinta Kura-Kura pula.

“Watak saya cuma sebagai kura-kura, tapi lakonan semuanya hak penerbit sebab mereka yang buat animasi, saya cuma boleh besarkan karakter dengan dialog. Harap penonton terhibur.”

“Saya sendiri memang jenis susah mahu puas hati dan ketawa dengan lawak sendiri, hanya Johan sahaja yang boleh buat saya ketawa,” katanya.

– KOSMO

Leave a Reply