Membawang Hari Ini

Lawak ke pentas prestij

Mohamed Juhari Saarani (berkot) bersama Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad (dua kiri) dan Pengurus Program Sinar FM, Rustam Said(tiga kanan) pada sidang akhbar Lawak Ke, Der? di Istana Budaya baru-baru ini.

KALAU dulu golongan pelawak hanya menjadi penyendal atau tempelan sahaja pada persembahan-persembahan pentas yang biasanya dikuasai oleh penyanyi dan pemuzik. Bagaimanapun, lima tahun kebelakangan ini bidang lawak jenaka telah berdiri sama tinggi dengan bidang seni lain.

Golongan pelawak kini bukan sahaja sama popular dengan penyanyi malah sambutan para penonton terhadap dunia lawak jenaka juga semakin meningkat. Senario itu bermula selepas kelahiran rancangan seperti Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega terbitan Astro.

Ekoran sambutan yang menggalakkan itu, Istana Budaya (IB) dan NRG Sdn. Bhd. akan menganjurkan persembahan Lawak Ke, Der? (Bila Hati Digeletek) di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur pada 3, 4, 5, 10, 11, dan 12 Februari ini.

Lapan pelawak terkenal masa kini iaitu kumpulan Osbon yang dianggotai Os dan Abon, Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik), Jozan (Johan, Zizan), Nabil dan Harith Iskander akan menjayakan persembahan yang mengenakan tiket berharga RM53, RM73, RM123, RM173, RM203 dan RM353.

Pelbagai gimik dan tarikan akan dipersembahkan oleh para pelawak terbabit bagi memastikan Panggung Sari bergema dengan gelak ketawa para peminat yang ingin menyaksikan gaya persembahan stand-up comedy yang buat julung kalinya dipentaskan di panggung berprestij di IB itu.

Kumpulan Osbon misalnya, sudah bersedia dengan pelbagai persiapan termasuklah gaya persembahan dan gimik bagi memastikan mereka mampu menggeletek hati para peminat yang datang menyaksikan persembahan.

“Kami akan mengadakan persembahan yang berbeza pada setiap malam. Antara tarikan pada persembahan Osbon ialah kami akan membawa teksi milik Os naik ke pentas IB untuk dijadikan prop dan tarikan sesuai dengan jalan cerita yang akan dipersembahkan.

“Sebagai pemandu teksi Os tentunya mempunyai banyak cerita lucu sama ada membabitkan dirinya ataupun penumpangnya. Kami akan jadikan semua pengalaman Os itu sebagai bahan penceritaan dalam persembahan kami nanti supaya nampak lain daripada lain,” kata Abon kepada Hits.

Pada pertemuan di sidang akhbar Lawak Ke, Der? di IB itu, dia memberitahu yakin para peminat yang pernah menyaksikan persembahan mereka sewaktu menyertai dan menjuarai Maharaja Lawak Mega tahun lalu akan terhibur dengan kepelbagaian jalan cerita pada persembahan tersebut.

Ini kerana pada persembahan selama 30 minit itu, dia dan Os akan menampilkan sketsa berdasarkan skrip yang mereka tulis bersama-sama dengan kebanyakan jalan cerita yang ditampilkan berkisar tentang cerita-cerita seharian yang berlaku dalam masyarakat.

“Saya dan Os akan menggunakan formula lawak jenaka sama seperti yang kami persembahan di Maharaja Lawak. Os lebih bertindak sebagai feeder, manakala saya sebagai killer bagi menjadikan sesuatu lawak itu lebih berkesan untuk menarik para penonton ketawa,” jelasnya.

Angkat taraf pelawak

Afdlin Shauki daripada kumpulan Boboi yang merupakan naib juara Maharaja Lawak Mega menegaskan tidak mensia-siakan peluang beraksi di pentas IB apabila ideanya yang tercetus pada 28 Disember lalu bagi mengadakan persembahan itu diterima baik oleh Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Menurut pengarah filem Buli itu, dia sudah lama mahu mengadakan persembahan seperti Lawak Ke, Der? bukan sahaja kerana sambutan menggalakkan para penonton tetapi juga demi mengangkat martabat bidang lawak jenaka ke suatu tahap yang lebih tinggi.

“Saya memang sudah lama mengimpikan persembahan yang macam ini. Bagi saya, ia adalah suatu sejarah dunia komedi tempatan kerana berjaya mengangkat bidang ini di atas pentas yang berprestij seperti di IB sama seperti bidang-bidang seni yang lain.

“Secara tidak langsung, ia juga menunjukkan peningkatan bidang lawak jenaka tempatan. Saya juga anggap persembahan ini suatu pengiktirafan IB kepada golongan pelawak tempatan. Kami bangga kerana mengadakan persembahan di IB yang umpama Royal Albert Hall di London.

“Apatah lagi, apabila lawak jenaka dipersembahkan secara khusus di atas pentas, ia membawa penghayatan, apatah lagi apabila kebanyakan idea lawak yang dikeluarkan adalah secara spontan. Ini adalah suatu kelainan dalam persembahan lawak jenaka,” jelasnya.

Sambutan Lawak Ke, Der? juga memberansangkan apabila sehingga kini hampir 70 peratus tiketnya telah habis dijual. Senario yang berlaku itu menyebabkan kesemua para pelawak yang terbabit semakin bersemangat untuk menjayakan persembahan itu.

Johan yang mewakili kumpulan duo, Jozan contohnya sanggup melakukan pelbagai inisiatif termasuklah mempelajari pelbagai perkataan yang sesuai di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memantapkan lagi persembahannya bersama Zizan.

“Saya dan Zizan telah menemui beberapa orang pegawai di DBP bagi mendapatkan nasihat mereka untuk menggunakan perkataan-perkataan yang sesuai digunakan. Contohnya, penggunaan perkataan seperti celaka tidak digalakkan kerana maksudnya yang

kasar.

“Sebaliknya, kami dinasihati menggunakan perkataan seperti jahanam bagi menggantikan perkataan celaka. Semua itu bagi memastikan lawak kami bukan sahaja menghiburkan tetapi pada masa sama ia tidak menyentuh sensitiviti para penonton terutamanya golongan kanak-kanak,” tuturnya.

Selain menggunakan perkataan-perkataan yang bukan setakat sesuai penggunaannya, Johan tidak menafikan tarikan utama persembahannya ialah dengan

cuba meniru suara serta gaya selebriti terkenal seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Kata pelawak berambut afro itu lagi, dia juga akan cuba

meniru lebih banyak suara dan gaya selebriti popular yang lain pada persembahannya bagi disesuaikan dengan jalan

cerita persembahan Jozan demi menarik perhatian para peminat mereka kelak.

“Sebelum ini misalnya, ramai yang suka apabila saya mengajuk gaya pakar motivasi Datuk Dr. Fadzilah Kamsah menjadi Dr. Come To Me. Mungkin selepas ini saya akan mencuba meniru watak-watak popular yang lain seperti watak Natrah seperti dalam teater Natrah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");