Program Basmi Kemiskinan

Penantian hampir 30 tahun penduduk Batu Kurau berakhir

Tahun 2012 cukup bermakna buat hampir 4,000 penduduk Batu Kurau apabila projek Jalan Anak Kurau-Kamunting yang dinanti-nantikan sejak 30 tahun lalu akhirnya dapat direalisasikan melalui peruntukan RM8.5 juta yang diterima daripada kerajaan Pusat.

Dengan sokongan wakil rakyat yang bersilih ganti dalam tempoh itu, Menteri Besar,  Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir diberi penghormatan untuk menyempurnakan majlis pecah tanah projek Jalan Anak Kurau-Kamunting yang melibatkan fasa pertama.

Rata-rata penduduk yang ditemui menyatakan kegembiraan kerana projek itu akhirnya dapat dibangunkan juga selepas tempoh penantian yang begitu lama.

Salah seorang penduduk, Zakaria Awang, berkata masyarakat DUN Batu Kurau amat gembira kerana kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM8.5 juta untuk menyiapkan projek Jalan Anak Kurau-Kamunting.

“Walaupun fasa pertama projek ini hanya membabitkan laluan sejauh 2.5 KM, ia telah memberi harapan kepada penduduk di sini dan kami yakin fasa kedua akan menyusul apabila peruntukan seterusnya diterima daripada kerajaan.

“Projek ini kena dan tepat pada masanya kerana selama ini penduduk terpaksa menggunakan jalan yang sempit untuk ke Taiping dan Kamunting yang memakan masa sekitar 45 minit.

“Jika projek ini siap sepenuhnya kelak, tempoh perjalanan disingkatkan antara 10 hingga 15 minit sahaja,” kata Zakaria lagi.

Suri rumah, Fatimah Mohd Nafi, 58, pula berkata penduduk dapat menggunakan jalan itu untuk memasarkan hasil dusun ke bandar Taiping atau pun membuka gerai menjual buah-buahan di tepi jalan berkenaan.

Fatimah Mohd Nafi

Ia katanya, secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan penduduk yang bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber ekonomi.

“Sebelum ini, penduduk tidak dapat memasarkan sendiri hasil pertanian ke bandar sebaliknya menggunakan khidmat peraih yang menawarkan harga yang rendah.

“Apabila projek ini siap kelak, penduduk boleh membawa hasil pertanian terus ke bandar untuk dijual kerana tempoh perjalanan yang begitu singkat berbanding menggunakan jalan sedia ada,” katanya lagi.

Mohd Radzi Ramli, 56, berkata, pekan Batu Kurau juga dijangka menerima tempias sosio-ekonomi apabila projek Jalan Anak Kurau-Kamunting siap nanti.

Katanya, kawasan itu lebih mudah dihubungi dengan wujudnya jalan baru itu yang juga boleh mempromosikan tempat perkelahan yang sesuai untuk aktiviti riadah seisi keluarga.

Mohd Radzi Ramli

“Selain projek jalan baru ini, kami  ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang begitu prihatin apabila meluluskan peruntukan RM130,000 untuk membina longkang di sekitar kampung bagi menangani masalah banjir kilat,” kata Mohd Radzi lagi.

Sementara itu, Saadiah Daud, menegaskan Jawatan Bertindak JKKK Anak Kurau terus mendesak tanpa mengenal erti putus asa agar kerajaan Pusat meluluskan projek itu.

“Isu ini dibangkitkan lagi pada 2000 dan hari ini penduduk cukup gembira kerana penantian kami selama hampir 30 tahun nyata berbaloi apabila projek ini diluluskan oleh kerajaan Pusat.

“Jawatankuasa ini juga akan memantau dan memastikan penduduk tidak menjual tanah mereka sewenang-wenangnya kerana kita tahu permintaan daripada pembeli akan meningkat apabila jalan ini siap kelak,” katanya.

Saadiah Daud

Ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu semalam, Zambry berkata, laluan sepanjang 11.5 KM itu bakal membawa pembangunan pesat kepada Batuk Kurau khususnya dan Daerah Larut Matang dan Selama amnya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya, tidak mahu melewat-lewatkan lagi projek itu dan mahu ia segera dilaksanakan selepas menerima peruntukan daripada kerajaan Pusat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");