Jenayah
Like

PPDNKK Melaka Rampas Minyak Masak Bersubsidi Bernilai RM16,000

February 20, 2012
117 Views
0 Comments
1 minute read
PPDNKK Melaka Rampas Minyak Masak Bersubsidi Bernilai RM16,000

Sekadar Gambar Hiasan

Anggota pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Melaka berjaya merampas 6.4 tan minyak masak bersubsidi bernilai RM16,000 dalam operasi di salah sebuah premis di sini semalam.

Pengarahnya, Muhabir Ibrahim berkata melalui rampasan tersebut, PPDNKK berjaya menyelamatkan wang subsidi kerajaan berjumlah RM8,960.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, rampasan itu dilakukan dalam operasi oleh empat anggota penguatkuasa di salah sebuah premis hasil maklumat orang ramai jam 5 petang semalam.

Minyak bersubsidi yang dirampas itu terdiri daripada 80 karton bagi berat satu kilogram dan 525 karton bagi berat lima kilogram.

Beliau berkata dua lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan kerana memiliki stor penyimpanan tanpa kelulusan dan dipercayai untuk tujuan penyelewengan.

Katanya premis itu pula didapati tidak dilesenkan sebagaimana yang dikehendaki mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan, pemilik premis berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Muhabir berkata orang ramai terutamanya pengguna dan peruncit yang menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak masak, boleh menyalurkan maklumat ke pejabat PPDNKK Melaka di talian 06-2345882 atau bilik gerakan di talian 06-2345869 atau talian 1800-886-800 agar tindakan segera dapat diambil bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan diperoleh dengan mudah.

“Pengguna di negeri ini diminta untuk melaporkan sebarang bentuk penyelewengan dan ketirisan mahupun pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan oleh PPDNKK melalui SMS ke nombor 017-6016931,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat

Leave a Reply