Perak Hari Ini, Program Basmi Kemiskinan

RM200,000 diluluskan naiktaraf jalan Kampung Pong

Lebih 200 penduduk berketurunan Siam di Kampung Pong, dekat Pengkalan Hulu kini boleh menarik nafas lega kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM200,000 bagi menaiktaraf jalan utama ke kampung itu.

Berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pagi ini yang berkesempatan melawat kampung itu yang agak terpencil dan terletak kira-kira 20 km dari Pengkalan Hulu.

Hadir sama, Adun Pengkalan Hulu, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Ketua UMNO Grik, Datuk Hasbullah Osman.

Kunjungan Zambry ke kampung itu cukup bermakna bagi seluruh penduduk kerana ia merupakan kali pertama Menteri Besar datang melawat kampung mereka.

Ketua Kampung, Ai Chun, berkata, beliau yang mewakili seluruh penduduk kampung itu ingin menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana meluluskan peruntukan itu.

“Sudah lama kami di sini menanti berita gembira ini kerana peruntukan RM200,000 yang diterima ini dapat digunakan untuk menaiktaraf jalan utama sejauh 9 km yang menjadi laluan penduduk berulang-alik ke bandar.

“Jalan ini sudah wujud puluhan lalu dan kini tiba masanya ia dinaiktaraf kerana laluan itu banyak yang rosak dan berlopak-lopak hingga boleh mengancam keselamatan pengguna terutamanya di waktu malam,” katanya.

Penoreh getah, Ai Ching Echuan, 38, berkata beliau terpaksa berulang-alik setiap hari ke Klian Intan untuk bekerja dan menghantar anaknya ke sekolah.

“Saya terharu dan berterima kasih dengan bantuan kerajaan negeri yang meluluskan peruntukan RM200,000 untuk menaiktaraf dan membaiki jalan ini.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib rakyat minoriti terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar,” kata bapa kepada dua anak itu.

Meskipun lega kerana masalah jalan di kampung itu bakal berakhir, Ai Chun berkata, penduduk masih menghadapi gangguan bekalan elektrik yang kerap hingga menjejaskan kehidupan mereka.

Terdahulu, Zambry sempat melawat Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin, pusat tahfiz yang mempunyai 24 pelajar dari seluruh negeri.

Pihak pengurusan memaklumkan kepada Menteri Besar bahawa pusat itu memerlukan bangunan baru agar pelajar dapat belajar dengan selesa di situ.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");