Sukan Hari Ini
Like

Tujuh pil, suntikan setiap pagi – Schzuan

February 20, 2012
101 Views
0 Comments
2 minutes read
Tujuh pil, suntikan setiap pagi – Schzuan

Tujuh biji pil dan suntikan di lengan setiap pagi ketika mengikuti latihan persediaan ke Sukan SEA XXVI Indonesia tahun lalu didakwa diberikan kepada ahli kuartet 4×400 meter negara, Mohd. Yunus Lasaleh yang positif ujian doping pada temasya dwi tahunan tersebut.

Perkara ini didedahkan salah seorang ahli kuartet tersebut, Schzuan Ahmad Rosely yang turut menerima ubatan tersebut ketika menyertai latihan di Miri Sarawak dan di Brunei pada September hingga Oktober tahun lalu.

Kata Schzuan, doktor dari Bulgaria yang merawatnya juga tidak memaklumkan secara terperinci ubatan sampingan yang diberikan kepada mereka sehingga menimbulkan keraguan.

“Doktor akan datang pada saya setiap pagi ketika saya hendak bangun tidur dan itulah yang kami berdua terima setiap hari sepanjang latihan berlangsung. Ia juga umpama jam penggera buat kami untuk bangun tidur.

“Kami juga diminta untuk memakan hampir tujuh biji pil yang hanya dimaklumkan oleh doktor sekadar berfungsi untuk memulihkan tenaga kami.

“Saya juga ada bertanya tentang suntikan setiap pagi itu, namun doktor hanya memberitahu ia hanya vitamin B12 sahaja,” kata Schzuan.

Ketika latihan persediaan itu berlangsung hanya Mohd. Yunus dan Schzuan sahaja yang berada di Miri dan Brunei manakala dua lagi ahli kuartet iaitu P. Yuvaraaj serta S. Kannathasan tidak turut serta.

Kuartet tersebut yang pertama kali digandingkan melakar kejutan apabila memperoleh emas pada Sukan SEA 2011 dalam acara 4x400m sebelum terpaksa pulang awal tanpa sempat meraikan kejayaan di atas podium.

Bagaimanapun, penganjur temasya mendapati ujian doping sampel A Mohd. Yunus positif sebelum keputusan yang sama diperoleh melalui sampel B pada minggu lalu.

Sementara itu, atlet jarak jauh, Mohd. Jironi Riduan yang turut mengikuti latihan persediaan di dua tempat tersebut memberitahu mereka ‘seakan teraniaya’ kerana diberikan ubatan tanpa penjelasan terperinci.

“Hampir 13 atlet olahraga yang mengikuti latihan persediaan itu diberikan ubatan berbeza mengikut acara disertai.

“Malah kami juga tiada pilihan untuk menolak daripada mengambil ubatan tersebut selepas dimaklumkan pil tersebut hanya vitamin sampingan untuk memulihkan tenaga selepas berlatih,” kata Jironi.

-Utusan-

Komen & Pendapat

Leave a Reply