Perak Hari Ini

46 calon catat PNGK 4.0 dalam STPM 2011

Seramai 46 calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari Perak mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil, meningkat 0.13 peratus berbanding 37 orang pada 2010.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri Perak, Mohd Idris Ramli, berkata daripada 4,506 calon yang menduduki peperiksaan itu, seramai 1,253 calon mendapat PNGK antara 3.0 ke 4.0, iaitu keputusan yang baik.

“Bilangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 adalah seramai 46 orang, meningkat 1.02 peratus berbanding 37 calon pada tahun 2010.

“Daripada keseluruhan 4,506 calon yang menduduki peperiksaan itu, 4,317 calon mencatat keputusan lulus penuh.

“Sebanyak 20 sekolah telah mencatat pencapaian lulus penuh 100 peratus, menurun lapan buah sekolah kerana pada 2010, sebanyak 28 sekolah mencatat pencapaian itu,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM negeri Perak di Jabatan Pelajaran negeri, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Idris berkata, lima mata pelajaran mencatat peningkatan iaitu Fizik, Perakaunan, Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik S.

Manakala mata pelajaran yang menunjukkan kemerosotan peratus lulus ialah Sains Sukan, Geografi, Pengajian Am, Usuluddin, Pengajian Perniagaan dan Biologi.

Beliau berkata, tiga calon cemerlang dari negeri itu turut diiktiraf oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) antara pelajar terbaik  STPM 2011.

Ketiga-tiga mereka itu adalah Wong Soon Kit dari SMK Sam Tet; Low Wei Yang (SMK Horley Methodist, Teluk Intan) dan Mohamad Sharullnizam Mahamud (SMK Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak).

Katanya, Mohamad Shahrullnizam adalah anak kepada pesawah yang juga merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mendapat 6A.

“Walaupun mendapat keputusan yang baik dalam SPM, beliau tetap memilih untuk bersekolah di SMK Sultan Abdul Jalil Shah dan hari ini, beliau telah membuktikan kejayaan boleh dicapai dengan usaha gigih tidak kira di mana jua berada,” katanya lagi.

Resepi kejayaan Mohammad Shahrullnizam ialah sentiasa mendampingi guru, katanya.

Selain Mohammad Shahrullnizam, tiga lagi calon Melayu turut mencatat keputusan cemerlang PNGK 4.0 iaitu Nur’ain Yusseri dari SMK Raja Chulan, Ipoh; Nur Natasha Mohd Tajuddin (SMK Jalan Tasek) dan Mohamad Nur Syazwan Mohd Sulehan (SMK Khir Johari, Sungai Sumun).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");