Berita Hari Ini

Budaya Rakyat Malaysia Dikagumi Orang Arab

Malaysia merupakan sebuah negara yang berjaya memupuk keharmonian kaum dengan mengamalkan budaya dan nilai murni, dan ini dikagumi masyarakat Arab termasuk pelajar yang menuntut di sini.

Menurut Akhbar Asharq Alawsat dari Arab Saudi, pelajar-pelajar Arab yang melanjutkan pelajaran di Malaysia menikmati kehidupan yang menarik dalam suasana aman dan harmoni termasuk di institusi pengajian masing-masing.

Ketika menyaksikan perayaan Tahun Baru Cina yang disambut meriah Januari lalu, penuntut Syria di Institut Bahasa Inggeris di Kuala Lumpur yang hanya dikenali sebagai Hamad, berkata Malaysia menikmati pelbagai perayaan kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Atase Kebudayaan Arab Saudi di Malaysia, Musha’l Thomi berkata, objektif program biasiswa untuk pelajar Arab belajar di luar negara seperti Malaysia bukan sekadar untuk kepentingan ilmiah bahkan untuk menambah pengetahuan mereka mengenai budaya lain di samping mempertingkatkan kemahiran yang dapat membentuk identiti pelajar.

“Pengalaman akan meningkatkan kesedaran pelajar menerusi interaksi dengan masyarakat dan mematuhi undang-undang, selain menghormati orang lain tidak kira warna, jantina mahupun agama.

“Pembelajaran itu dapat membantu mereka supaya menjauhi sifat perkauman dan kedaerahan setelah kembali ke tanah air nanti, dan itulah peranan yang perlu dicapai dalam program ini,” katanya kepada wartawan akhbar Asharq Alawsat, Badr Al Qahtoni tentang kebaikan warisan budaya dan sosial yang dipelajari di Malaysia.

Musha’l berkata bahawa masyarakat di Malaysia sangat sopan dan berbudi bahasa dalam pergaulan, mematuhi undang-undang dan menjalani kehidupan yang harmoni secara berterusan.

“Keadaan ini begitu berbeza dengan dunia Arab,” katanya yang dipetik oleh akhbar itu.

Seorang pelajar Arab Saudi, Abdul Aziz Al-Ghamidi pula berkata ketika membayar di kaunter pusat membeli-belah, dia akan menghulurkan wang dengan tangan kanan untuk menunjukkan tanda hormat.

“Ini merupakan tradisi orang Malaysia ketika menyerahkan sesuatu. Cara ini membuatkan orang lain akan menghormati kita,” katanya.

Al-Ghamidi juga tertarik dengan sikap rakyat Malaysia yang menghormati orang yang sedang bercakap.

“Mereka mempunyai satu tabiat yang baik iaitu mendengar dan diam ketika seseorang sedang bercakap, fahami apa yang ingin disampaikan dan kemudian memberi respon kepadanya. Adat itu sangat berbeza dengan budaya dan cara kita (orang Arab) bercakap,” katanya.

Beliau juga kagum dengan rakyat Malaysia yang akan menyatakan sesuatu bersama senyuman selain sering menyebut “terima kasih”, “silakan”, “maaf”, dan “tolong”.

Al-Ghamidi juga mendapati peraturan-peraturan di Malaysia memudahkan pelajar asing seperti beliau mendapatkan khidmat dan keperluan dengan segera tanpa melibatkan kos atau sebarang masalah.

Beliau berkata budaya harmoni di sini juga membantu industri pelancongan di Malaysia.

Satu lagi keistimewaan di Malaysia yang diperhatikan oleh Al-Ghamidi ia kegilaan terhadap teh tarik.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");