Jenayah

Kastam tumpaskan taktik warga asing telan kondom berisi syabu

SEPANG: Taktik tiga lelaki warga asing yang cuba menyeludup masuk dadah dengan menelan syabu yang dimasukkan ke dalam kondom terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mengesannya melalui alat pengimbas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib, berkata kesemua mereka yang berumur di antara 27 dan 32 tahun berjaya ditangkap dalam kes berasingan di antara 16 Februari hingga 26 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Betapa sukarnya pihak Kastam untuk mengeluarkan dadah ini yang berjaya dikesan di dalam badan dengan menggunakan alat pengimbas ketika mereka sampai di KLIA dan kemudian untuk proses mengeluarkannya.

“Namun hasil daripada pengalaman kami akhirnya ia berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, syabu tersebut yang berbentuk 191 ketulan yang berjaya dikeluarkan daripada dalam badan mereka itu bernilai kira-kira RM625,000.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari dari tarikh mereka ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Zainul Abidin berkata, Kastam juga berjaya merampas empat kilogram dadah jenis Ketamin bernilai RM72,000 daripada seorang lelaki warga India pada 5.30 pagi, 25 Feb lalu di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).
Katanya, lelaki itu juga disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan.

Sementara itu beliau berkata, sepanjang dua bulan pertama tahun ini, Kastam KLIA berjaya merampas 44.4 kilogram dadah bernilai anggaran RM8.3 juta dengan sepanjang bulan Februari sahaja sebanyak 24.8 kilogram dadah bernilai RM3.4 juta dirampas.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");