Sukan Hari Ini

Kerajaan Perak, PMAP anjur pertandingan muaythai peringkat antarabangsa 31 Mac

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Muaythai Amatur Perak (PMAP) akan menganjurkan pertandingan muaythai bertaraf antarabangsa yang bakal menyaksikan pertarungan sengit antara peninju Malaysia dan Thailand pada 31 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata dua peninju terbaik negara, Mohd Ali Yaakub dan Mohamad Shukri Hasan @ Ejo serta seorang peninju wanita akan mempamerkan kehebatan mereka dalam pertandingan yang julung-julung kali diadakan di negeri Perak itu.

“Pertandingan akan berlangsung di Akademi Muaythai, Jalan Watson, Ipoh pada 31 Mac nanti dan kita jangka lebih 3,000 penonton akan hadir bagi memeriahkan lagi pertandingan itu, ” katanya kepada Perak Today, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi persatuan itu, Muhammad Bernard Radin.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri kata Zainol Fadzi, menyokong penuh usaha yang dijalankan persatuan itu bagi mengetengahkan sukan muaythai baik di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

Jelasnya, sukan itu semakin mendapat tempat khususnya di kalangan anak muda yang gemar aktiviti yang lasak dan mencabar.

“Perak juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai akademi untuk melatih anak muda yang berminat untuk menceburi sukan ini secara serius yang dikelolakan oleh PMAP sejak hampir dua tahun lalu.

“Setakat ini, akademi ini mempunyai 194 ahli yang aktif dan ada yang sanggup datang dari Kedah, Selangor dan Perlis untuk berlatih di sini.

“Selain itu, pihak akademi juga akan menjalin kerjasama dengan Masterskill Nursing College untuk menyediakan khidmat fisioterapi kepada ahli persatuan berkenaan,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Bernard berkata, pihaknya turut menghargai kerjasama yang diberikan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bertindak sebagai penaja utama pertandingan itu nanti.

“Saya berharap lebih ramai lagi pihak penaja tampil untuk memberi tajaan bagi membantu pertubuhan memajukan lagi sukan muaythai yang semakin diminati rakyat tempatan.

“Tiket berharga RM30 dan RM50 akan mula dijual minggu depan dan orang ramai boleh menghubungi talian 018-3593909, 019-6210097, 013-5939399 dan 017-5099024 untuk keterangan lanjut,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");