Program Basmi Kemiskinan

Kolam Air Panas Ulu Slim terbiar, MDTM digesa ambil tindakan segera

Tidak berbaloi, itu antara ungkapan kurang manis yang didengar daripada pengunjung yang melawat Kolam Air Panas Kampung Ulu Slim, dekat Slim yang kelihatan terbiar hingga menjejaskan reputasinya sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di Perak.

Masalah ini perlu ditangani segera oleh kerajaan negeri amnya dan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) khususnya kerana kawasan itu berpotensi menjadi destinasi pelancongan terkenal seperti Kolam Air Panas Sungai Klah, dekat Sungkai jika dapat dibangunkan dengan perancangan yang rapi .

Ketika ini, ramai pengunjung meluahkan rasa kecewa kerana melihat kawasan itu terbiar sedangkan ia berpotensi menjadi tumpuan pelancong, sekaligus dapat meningkatkan sumber ekonomi rakyat tempatan terutamanya peniaga kecil.

Walaupun pihak berkuasa tempatan telah membina kompleks di sebelah kawasan kolam air panas yang dilengkapi kemudahan tandas dan gerai menjual makanan, pengunjung merasakan adalah lebih baik jika usaha menjaga kebersihan kolam dan punca air panas diutamakan pihak berkenaan.

Peruntukan kerajaan membina kompleks ini akan menjadi sia-sia jika kawasan punca air panas tidak terjaga dan kotor yang akhirnya menjejaskan kehadiran pengunjung ke situ.

Selain itu, tiada tempat khas disediakan untuk pengunjung merendam kaki dan sepatutnya punca air panas dialirkan ke kolam khas yang dibina untuk kemudahan pengunjung.

Sementara itu, Penghulu Mukim Slim, Mohd Rashid Mohd Hassan, berkata kawasan tanah itu masih milik kerajaan dan MDTM sudah membuat permohonan daripada hak milik daripada kerajaan negeri untuk dimajukan sebagai kolam air panas dan menjadi pusat pelancongan di daerah berkenaan.

Pihak MDTM sudah merangka perancangan lengkap untuk memajukan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan, katanya.

Katanya, ketika lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke daerah itu baru-baru ini, beliau pada dasarnya telah bersetuju supaya kawasan kolam air panas itu dimajukan oleh pihak MDTM.

“Menteri Besar juga menyokong cadangan MDTM memajukan kawasan itu dan apabila mendapat kelulusan hak milik daripada kerajaan negeri, PBT berkenaan akan melantik kontraktor untuk memajukan kawasan berkenaan.

“Saya akui dengan membangunkan kawasan kolam air panas itu, penduduk terutama peniaga kecil akan turut menikmati pelbagai manfaat termasuk menjana sumber ekonomi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");