Berita Hari Ini

Kolej Islam Malaya akan diaktifkan semula sebagai universiti

KUALA LUMPUR: Penubuhan Universiti Islam Malaysia yang telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu pada 2010 dijangka dapat direalisasikan tidak lama lagi.

“Penubuhan universiti itu adalah untuk mengaktifkan semula Kolej Islam Malaya (KIM) yang kini sudah tidak beroperasi setelah usaha menaik taraf kolej itu kepada universiti tergendala sejak 1970,” kata Pengerusi Majlis universiti itu, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Beliau berkata, Majlis universiti itu yang dilantik dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu sudahpun mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk tujuan itu.

“Saya yakin kerajaan akan menyokong penubuhan universiti ini kerana ini juga (membabitkan) keputusan Raja-Raja Melayu,” katanya pada sidang media mengenai penubuhan universiti itu di sini, hari ini.

Dr Mohd Yusof berkata, usaha menaik taraf KIM yang ditubuhkan pada tahun 1955 tertangguh pada 1970 kerana timbul desakan yang lebih kuat pada waktu itu untuk mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memartabatkan bahasa Melayu.

“Keupayaan kerajaan pada masa itu hanya untuk tubuhkan sebuah universiti sahaja…tetapi tertangguh tidak bermakna tutup, kerana wang sudah sedia ada dan mesti diteruskan misinya terutama ia adalah satu amanah daripada pihak Raja-Raja Melayu,”katanya.

Dr Mohd Yusof yang juga adalah bekas pelajar KIM menganggap penubuhan universiti yang juga kesinambungan KIM itu adalah sesuatu yang unik dan akan menjadi satu-satunya institusi yang ditaja oleh Majlis Raja-Raja Melayu di dalam negara.
Beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses bagi mendapatkan tanah seluas kira-kira 40.5 hektar di Cyberjaya untuk menempatkan kampus utama universiti itu bagi menampatkan kira-kira 1,000 orang pelajar.

“Pembinaannya akan mengambil masa, buat sementara kita akan menggunakan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan beberapa tempat lain sebagai kampus,” katanya.

Dr Mohd Yusof berkata, universiti itu nanti akan menawarkan pengajian di peringkat lepasan ijazah dan doktor falsafah dan terbuka kepada semua bangsa dan warganegara.

“Universiti itu akan mengutamakan calon yang lebih berpengalaman, dan ia akan menjadi universiti antarabangsa sebenar, di mana antara keunikannya ialah pelajar boleh menulis tesis dalam apa juga bahasa pilihan mereka, hanya sinopsisnya saja perlu ditulis dalam bahasa Melayu,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");