Isu Panas
Like

PAS dibidas tuduh surat Tun M bukti iktiraf Israel

March 5, 2012
101 Views
1 Comments
2 minutes read
PAS dibidas tuduh surat Tun M bukti iktiraf Israel

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, hari ini membidas Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung tuduhannya kononnya surat diutus bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada perdana menteri Israel membuktikan Malaysia mengiktiraf rejim Tel Aviv itu sebagai sebuah negara sah.

Beliau berkata, ketiga-tiga kandungan surat berkenaan langsung tidak menggambarkan sepertimana tuduhan itu, sebaliknya ia menyatakan pendirian dan ketegasan Malaysia berkenaan isu kebebasan Palestin.

“Saya rasa kalau mereka baca betul-betul, tak ada pun (mengiktiraf Israel) cuma disebutkan bahawa sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin tidak berbelah bahagi dan kita memberi peringatan kepada rejim Tel Aviv (mengenai perkara itu).

“Ini sesuatu yang berbeza dengan seseorang yang menyatakan ia ingin memastikan keselamatan negara Israel,” katanya yang menambah bahawa Malaysia ada hubungan dengan banyak negara tetapi tidak bermakna Malaysia akan menghantar tentera untuk mempertahankan negara itu jika ia diserang.

Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim hari ini yang mendakwa tindakan Dr Mahathir menghantar tiga pucuk surat kepada tiga perdana menteri rejim Tel Aviv adalah bukti kerajaan mengiktiraf negara rejim zionis itu.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa program “Road to London” di sini hari ini.

Pada 29 Februari lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dipetik sebagai berkata ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.
Ketiga-tiga surat itu yang masing-masing bertarikh 21 Disember 1993, 14 Mac 1997 dan 8 Jun 1999 ditujukan kepada tiga perdana menteri rejim itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melawat Melaka pada 24 Februari dan Sekinchan, Selangor pada 26 Februari menyatakan kesediaan Kerajaan Malaysia untuk menyiarkan kepada umum beberapa pucuk surat Mahathir kepada perdana menteri Israel.

– BERNAMA

Komen & Pendapat

One Comment

  1. lan

    baca balik betul2 surat2 tun m tu….
    tun hanya membalas surat kepada surat2 yg terlebih dahulu diterima daripada 3 pm israel tu. Jadi hakikatnya 3 surat itu hanyalah surat jawapan, bukannya tun yg terhegeh2 hantar surat tu. Pemimpin PAS ni tak reti membaca kaa?

Leave a Reply