Membawang Hari Ini
Like

Rita Rudaini simpan kepedihan demi anak-anak

March 23, 2012
393 Views
0 Comments
3 minutes read
Rita Rudaini simpan kepedihan demi anak-anak

GELORA yang melanda rumah tangga aktres ini bukan pertama kali dihadapinya.

Dugaan itu pernah dilalui sebelum ini namun ia reda dek kasih sayang yang terpateri antara mereka. Namun tatkala ini hati isteri ini tercuit sekali lagi, bila mahligai yang dibina bersama pemain bola sepak terkenal negara Aidil Zafuan Abdul Razak bergolak kembali.

Begitu pun pelakon kesayangan ramai, Rita Rudaini, ketika ditemui Mingguan Wanita enggan membenarkan hatinya terus karam dengan dugaan yang melanda.

Bersama kekuatan yang ada dalam diri, dia meneruskan kehidupan biar jauh di sudut hatinya tersimpan derita yang dipendam kejap.

Dia harus kuat demi dua cahaya matanya, Airit Rayyan Rizqin, 3 dan Airit Rafqa Arjuna, 10. Permata hati ini harus dibesarkan dengan sempurna walau ada krisis melanda antara dia dan suaminya.

“Selama empat tahun, Rita hadapi situasi yang sama. Ia pernah terjadi satu ketika dahulu dan berulang kembali. Ia tidak menjadi pengajaran. Seharusnya pengalaman itu memberi pengajaran.

“Benar, Rita rasa terkilan dan patut lebih berhati-hati. Selepas ini, biar apa pun mendatang, Rita tidak akan lari daripada masalah kerana Rita akan buat apa sahaja demi diri sendiri dan anak-anak,” ungkap pelakon kelahiran Kangar, Perlis ini penuh makna tersirat.

Menangis bukan kerana lemah

Akuinya setiap kali diuji dengan masalah ini, dia sememangnya rasa tertekan malah air mata sering menjadi peneman, Namun ujarnya dia menangis bukan kerana lemah sebaliknya sekadar untuk melepaskan segala yang terbuku di dalam hati.

“Apabila keluar segala derita itu, Rita menjadi lebih kuat. Namun dalam masa yang sama, Rita akui hati Rita keras sendiri disebabkan perkara yang telah terjadi sebelum ini. Rita juga tidak mahu memikirkan lagi perkara ini.

“Biarlah orang bercakap dan mereka boleh berkata apa sahaja tetapi Allah S.W.T sahaja yang Maha Mengetahui. Rita percaya jika niat itu baik, satu hari kebenaran itu akan tersingkap juga. Semua yang berlaku ini juga Rita tahu ada hikmah yang tersembunyi.

“Allah S.W.T menjadikan sesuatu itu bukan tidak bersebab dan ia mesti ada alasan tertentu. Malah Rita rasa bertuah kerana Allah S.W.T memberi dugaan ini kerana Rita yakin Tuhan memberi ujian kepada mereka yang mampu menerimanya dan Rita harus menghadapi segala ketentuan-Nya,” bicara Rita perlahan.

Bukan itu sahaja, ujar pelakon berusia 36 tahun ini, krisis rumah tangga yang dilaluinya ini juga sebenarnya secara tidak langsung mendidiknya menjadi seorang yang sabar.

“Tidak sesekali Rita menyalahkan takdir. Anak-anak adalah motivasi untuk Rita terus kuat. Syukurlah keluarga sentiasa ada di belakang Rita. Begitu juga dengan sokongan daripada peminat yang sentiasa bersama Rita ketika senang mahupun susah,” ujarnya menutup bicara mengenai belenggu rumah tangganya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply