Perak Hari Ini

Tindakan Tun M mohon kerajaan siar surat kepada pemimpin Israel wajar: MB Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengambil tindakan yang wajar apabila meminta kerajaan menyiarkan tiga pucuk surat kepada pemimpin Israel bagi tujuan menyangkal fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang terhadapnya selama ini.

Katanya, dengan penyiaran ketiga-tiga pucuk surat itu, rakyat dapat memahami dan mengetahui pendirian kerajaan ketika itu terhadap pendudukan dan kekejaman Israel di bumi Palestin.

“Sebelum ini, Tun Mahathir telah difitnah bersependapat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan apabila kerajaan bersetuju untuk menyiarkan ketiga-tiga pucuk surat yang dihantar kepada pemimpin Israel, maka segala persoalan dan tuduhan itu dapat dipadamkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Tenby International School di Meru Raya, dekat Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry juga berkata, pihak pembangkang akan terus mencari pelbagai alasan untuk mengkritik kerajaan bagi menutup kelemahan mereka daripada pengetahuan rakyat.

“Saya harap rakyat faham kedudukan dan pendirian kerajaan terhadap Israel melalui penyiaran tiga pucuk surat yang dihantar oleh Tun Mahathir,” katanya lagi.

Pada 29 Februari lalu, kerajaan menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata surat berkenaan ialah; i) Surat daripada Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin, Perdana Menteri Israel, bertarikh 21 Disember 1993;

ii) Surat daripada Dr Mahathir kepada Benyamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, bertarikh 14 Mac 1997; dan

iii)Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel, bertarikh 8 Jun 1999.

Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak, ketika melawat Melaka pada 24 Februari dan Sekinchan, Selangor pada 26 Februari menyatakan kesediaan Kerajaan Malaysia untuk menyiarkan kepada umum beberapa pucuk surat Mahathir kepada Perdana Menteri Israel.

“Saya ingin menyatakan bahawa sebagai satu dasar, Malaysia selama ini telah secara konsisten memberi sokongan sepenuhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan komprehensif terhadap konflik Palestin-Israel dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Kandungan surat-surat tersebut jelas menunjukkan pendirian yang berprinsip dan ketegasan Malaysia terhadap tindakan haram dan kekejaman Israel yang telah menggugat pelaksanaan proses damai, dan gesaan beliau kepada Israel untuk memenuhi obligasinya dan melaksanakan semua perjanjian yang telah dimeterai di antara Palestin dan Israel,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");