Perak Hari Ini
Like

Aktiviti sukan jadi platform promosikan TMP 2012: DS Zambry

April 20, 2012
170 Views
0 Comments
2 minutes read
Aktiviti sukan jadi platform promosikan TMP 2012: DS Zambry

Aktiviti sukan seperti perlawanan bola sepak akan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan Tahun Melawat Perak 2012 agar sasaran menarik lima juta pelancong dapat direalisasikan dengan jayanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata melalui aktiviti seumpama itu, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai destinasi pelancongan menarik di negeri Perak.

“Aktiviti sukan seperti perlawanan bola sepak persahabatan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk  mempromosikan pelancongan negeri Perak.

“Dengan cara ini, kita dapat mewar-warkan destinasi pelancongan menarik di negeri ini untuk tarikan pelancong dalam dan luar negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili pasukan Menteri Besar menentang pasukan Barisan Artis Nasional dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Padang Ipoh, petang tadi.

Selain Zambry, pasukan Menteri Besar turut diwakili Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Pegawai Khasnya, Datuk Azhar Ahmad dan juga bekas pemain bola sepak  Perak.

Manakala pasukan artis nasional pula mempertaruhkan pengacara popular, Datuk A.C Mizal, Adlin Aman Ramli, Fiq Mentor, Hairi Kool dan Danny X Factor.

Penonton turut terhibur dengan kemunculan pelawak terkenal tanah air, Acapan dan Angeline Tan yang bertindak selaku pengulas perlawanan tersebut.

Jaringan pertama  perlawanan persahabatan itu dihasilkan oleh pasukan MB melalui tendangan bekas pemain Perak, Chan Kok Heng.

Pasukan selebriti tempatan gagal merapatkan kedudukan sehingga separuh masa pertama tamat.

Kemenangan akhirnya berpihak kepada pasukan MB apabila menang 5-2 ke atas pasukan lawan.

Selain perlawanan bola sepak, acara petang itu turut dimeriahkan dengan kemunculan artis wanita yang turun padang dalam acara ‘penalty kick’ menentang pasulan Pelancongan Perak.

Antara artis wanita yang mewakili pasukan itu termasuklah Emelda Rosmila, Ayu OIAM, Saida AF, Isma AF dan Watie serta Azza Elite manakala Pelancongan Perak diketuai oleh exconya, Datuk Hamidah Osman.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Zambry berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Barisan Artis Nasional yang diketuai Datuk AC Mizal yang juga merangkap Duta TMP 2012 di atas kesudian pasukan itu menyertai perlawanan persahabatan dengan pasukan MB.

“Pemain pasukan Barisan Artis Nasional bermain sehingga ke tiupan wisel terakhir…..mereka bermain seperti pasukan Manchester United,” katanya.

Komen & Pendapat

Leave a Reply