Membawang Hari Ini

‘Bawaku Pergi’ galak remaja lari?

DEK lambakan kes remaja lari dari rumah sejak akhir-akhir ini, lagu Bawaku Pergi, nyanyian Zizan (Raja Lawak) dan Kaka menjadi isu besar yang hangat diperkatakan kini.

Malah, difahamkan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), menggesa kerajaan mengharamkan lagu ciptaan Malique itu, yang disifatkan membawa unsur negatif yang boleh mendorong remaja melarikan diri dari rumah.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, Malique berkata, pengharaman lagu ini dianggap tidak adil kerana tiada sebarang perbicaraan mahu pun penjelasan yang sempat diberikan kepada kerajaan mengenai isu ini.

“Pagi tadi, Zizan menelefon saya mengatakan surat dah diterima daripada pihak kerajaan, lagu Bawaku Pergi harus dihentikan penyiarannya. Tanpa perbicaraan, tanpa peluang tertuduh untuk membela diri. Tidak adil, saya merasakan bahawa Zizan, Kaka dan saya telah ditindas.

“Pada 1998, saya menulis lagu Pergi Jauh untuk isteri saya. Lagu itu berkisarkan tentang kami yang berangan-angan untuk pergi bercuti di tepi pantai Bali. Pada 2012 pula, saya menulis lagu Bawaku Pergi sebagai susulan kepada lagu Pergi Jauh. Lagu ini berkisar mengenai kehidupan saya yang setelah beberapa tahun berkahwin, tapi masih sibuk dengan kerja dan jarang-jarang dapat pulang bersama dengan isteri.

“Lagu ini dicipta menerusi pandangan si isteri untuk suaminya di mana dia berangan-angan untuk bercuti ke Tibet/Nepal. Oleh kerana itu adanya lirik, ‘puncak dunia kita duga’. Setiap orang yang mempunyai asas geografi, akan tahu yang puncak dunia adalah di Himalaya.

“Saya selalu mengidam untuk pergi ke Indochina melalui jalan darat, ‘pergi lebih lama, pergi lebih jauh’. Saya tiada masa untuk meletakkan diri saya dalam fikiran seorang remaja kerana zaman itu telah lama saya tinggalkan.

“Saya menulis sebagai seorang dewasa dan jika ada pihak kurang matang yang mendengar lagu saya dan bertindak bodoh, itu bukan hal saya. Saya gemar mengembara, dunia ini ada 196 negara, dan sempadan dunia saya tidak berakhir di Siam. Saya mempunyai kebebasan untuk mengembara dan menceritakannya kepada sesiapa sahaja,” jelas Malique.

Sementara itu, Zizan berkata, dia tidak menganggap lagu itu menggalakkan remaja lari dari rumah dan Bawaku Pergi hanyalah sekadar halwa telinga semata-mata.

“Saya tidak rasa lagu ini muncul pada masa yang salah hanya kerana isu terkini yang diperkatakan sekarang. Jika diikutkan, rakyat Malaysia tidak sebodoh itu untuk lari mengikut kekasih hanya kerana apabila mendengar lagu.

“Malah, lirik yang terdapat dalam lagu ini juga adalah mengenai kisah percintaan dan angan-angan mereka yang bercinta. Jadi saya tidak faham mengapa perlunya hal ini diperbesarkan. Lebih banyak isu lain lagi yang boleh dijadikan sebab untuk remaja lari dari rumah,” katanya.

Terpulang pada persepsi: Kaka

Sementara itu, pasangan duet Zizan bagi lagu Bawaku Pergi, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 23, menyifatkan setiap individu mempunyai persepsi yang berbeza mengenai mesej yang terkandung dalam lagu.

Bagaimanapun menurut Kaka, setiap mesej yang terdapat pada lagu boleh dipelbagaikan mengikut pemahaman setiap individu.

“Pada pemahaman saya sendiri sebagai penyanyi lagu Bawaku Pergi, lirik yang terdapat dalam lagu ini mengajak kekasihnya untuk keluar daripada belenggu masalah.

“Pertama kali saya membaca lirik ini tidak langsung terlintas di hati saya liriknya sama seperti kisah kekasih lari dari rumah. Sebaliknya lirik ‘kita lari dari realiti’ bermaksud lari dari masalah,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");