Sukan Hari Ini
Like

Cai Lin tetap resah

April 22, 2012
119 Views
0 Comments
1 minute read
Cai Lin tetap resah

HANYA tinggal dua peluang lagi untuk perenang negara, Khoo Cai Lin mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik London dengan melepasi had masa kelayakan di bawah kategori A.

Biarpun sebelum ini melepasi had masa kelayakan kategori B dalam acara 400 meter dan 800m, perenang berusia 24 tahun itu mengakui dia belum boleh menarik nafas lega.

“Saya berpeluang mencatat masa lebih baik pada Terbuka Malaysia (3 hingga 7 Mei) dan Kejohanan Asia Tenggara di Singapura (28 Mei hingga 17 Jun) bagi memastikan tempat saya di London secara merit. “Sekarang kami menjalani latihan dalam negara dan tidak ada lagi perancangan selain menyertai dua kejohanan itu,” katanya selepas mengadakan klinik renang di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Cai Lin merakam 8 minit 49.28 saat pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia, tahun lalu untuk menempah tiket Kategori B dalam acara 800m gaya bebas (had kelayakan 8:51.82 saat) sebelum tiket kedua diperoleh bagi 400m gaya bebas dengan mencatatkan 4:16.54s (had kelayakan 4:18.75s) selepas memenangi perak di Sukan SEA Palembang tahun lalu.

Atlit yang pernah beraksi di Olimpik 2008 di Beijing perlu mencatat 4:9.35s bagi 400m dan 8:33.84s, acara 800m jika mahu melepasi had kelayakan kategori A sekali gus menjamin aksi di London.

Terdahulu, duta produk kesihatan Herbalife meluangkan dua jam memberi tunjuk ajar dan tips renang kepada 50 kanak-kanak terpilih.

-BERITA HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply