Perak Hari Ini

Gagasan 1Malaysia semakin mendapat tempat di hati rakyat: Abdul Azeez

Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri berjaya meneruskan kesinambungan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat sejak 56 tahun lalu.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata keprihatinan Datuk Seri Najib Razak terhadap masalah yang dihadapi rakyat begitu tinggi bertepatan dengan slogan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Gagasan 1Malaysia semakin diterima rakyat negara ini tidak kira kaum Melayu, Cina atau India kerana ia memperjuang nasib dan kebajikan rakyat negara ini.

“Melalui sokongan PM sebagai penaung, KP1M turun padang membantu mangsa bencana alam di seluruh negara tanpa latar belakang agama, bangsa dan fahaman politik bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

“Baru-baru ini, KP1M turun menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat dan Ampang meskipun kawasan itu dikuasai pihak pembangkang dan kita juga turut menyerahkan lebih 20,000 buah tilam dan 25,000 dapur gas kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 800 tilam dan 350 dapur gas kepada 646 mangsa banjir di Parlimen Lenggong yang membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Tampan dan Kenering di Dewan Merdeka Lenggong, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad.

Abdul Azeez berkata, melalui program seumpama itu, kelab berkenaan dapat mendengar rintihan dan masalah yang dihadapi rakyat sebelum disalurkan kepada PM untuk tindakan sewajarnya.

“KP1M menjadi wakil kepada PM bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat yang ditimpa bencana alam dan kerajaan BN tidak mengetepikan hak rakyat walaupun mereka ini menyokong parti pembangkang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, usaha KP1M turun padang dan berada di barisan hadapan untuk membantu mangsa bencana alam juga turut disenangi rakyat jelata.

Mengulas dakwaan parti pembangkang tindakan kelab itu membantu mangsa bencana alam hanya untuk meraih sokongan pengundi, Abdul Azeez berkata, pihak terbabit tidak seharusnya cuba mencampuri urusan KP1M yang ingin menghulurkan bantuan.

“Kalau tak boleh bantu, jangan kacau orang lain yang ingin membantu.

“Ketika Hulu Langat dan Ampang dilanda banjir teruk baru-baru ini, tidak nampak pun pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) turun padang untuk menyalurkan bantuan sebaliknya KP1M yang bertungkus-lumus membantu memindahkan mangsa ke tempat selamat,” katanya lagi.

Beliau berkata, sejak 56 tahun lalu, kerajaan BN telah menjaga kebajikan rakyat Malaysia dengan baik berbanding dengan janji pihak pembangkang yang sekadar retorik semata-mata.

Sehubungan itu, rakyat katanya, perlu bijak menilai wakil parti mana yang sekadar melafazkan kata retorik atau turun padang untuk mendekati dan menyelami masalah rakyat.

“Kita (BN) buat banyak kerja bukan seperti parti pembangkang yang sekadar banyak cakap tapi tak buat kerja.

“Dengan pelbagai usaha yang diperkenalkan oleh PM, kita berharap rakyat dapat memberi sokongan 100 peratus kepada BN pada pilihan raya umum nanti,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");