Sukan Hari Ini
Like

Isu FAM-Annuar: ‘Saya hanya mahu bantu’

April 11, 2012
460 Views
0 Comments
3 minutes read
Isu FAM-Annuar: ‘Saya hanya mahu bantu’

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda menawarkan diri sebagai pengantara dalam isu melibatkan badan induk itu dan Tan Sri Annuar Musa dengan harapan boleh menjernihkan kembali keadaan demi bola depan negara.

“Saya hanya mahu membantu menjernihkan kembali keadaan demi bola sepak negara,” demikian titah Tengku Abdullah berhubung kenyataannya sebelum ini yang menawarkan diri menjadi orang tengah untuk menangani krisis antara FAM dan Annuar.

Titah Tengku Abdullah, baginda tidak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM, tetapi sekadar berkongsi pandangan demi kemajuan bola sepak negara.

“Semua pihak pasti ada kelemahannya. Jadi, tidak salah sekiranya kita kembali bersama dan memperbetulkan apa yang sudah berlaku.

“Saya juga akan melihat kembali Artikel 88 dan jika terdapat perkara yang boleh diperbetulkan saya bawa perkara ini ke exco untuk dibincangkan,” titah baginda ketika ditemui pada satu majlis di Subang Jaya, semalam.

Namun begitu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada Isnin lalu tidak bersetuju tindakan Tengku Abdullah menjadi pengantara kerana menjelaskan hukuman sudah dilaksanakan.

Sabtu lalu, Tengku Abdullah menawarkan diri sebagai pengantara bagi menamatkan ‘keretakan’ di antara badan induk bola sepak negara itu dengan Tan Sri Annuar Musa.

Menurut baginda, semua pihak harus mengakui sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh Annuar dalam memajukan bola sepak tanah air khususnya di Kelantan.

“Kita perlu mengkaji adakah keputusan ini akan merosakkan kerja baik yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar demi membangunkan bola sepak di Kelantan dan adakah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengalami kesan buruk daripadanya.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa kita boleh memberi tumpuan kepada faktor-faktor mitigasi yang wujud bagi menyelesaikan perkara ini secara damai demi kebaikan bola sepak Malaysia,” baginda bertitah.

Pada 4 April lepas, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman penggantungan selama 30 bulan ke atas Annuar, yang juga Presiden KAFA daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri kerana mendapati beliau bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM, pada 12 Februari lepas.

Mengikut peraturan FAM itu, hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya sahaja yang dibolehkan memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Annuar juga Timbalan Presiden FAM.

Bagaimanapun Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah tidak bersetuju dengan cadangan Tengku Abdullah untuk menjadi perantara dalam krisis penggantungan Tan Sri Annuar Musa selama dua tahun enam bulan.

Bagaimanapun Sultan Ahmad yang juga Sultan Pahang bertitah sebagai Presiden FAM baginda perlu menyokong hukuman yang telah dijatuhkan terhadap Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM kerana ia tertakluk kepada perlembagaan FAM.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply