Perak Hari Ini

Pelbagai bencana akan berlaku jika ilmu disalahguna: Raja Nazrin

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah pelbagai bencana akan berlaku di negara ini sekiranya golongan berilmu menyalahgunakan kepercayaan, jawatan dan tanggungjawab yang diamanahkan, yakni sekadar meletakkan ilmu sebagai pakaian luar untuk mendapat pengiktirafan.

“Hari ini, insan yang menguasai ilmu semakin ramai dan pada masa sama insan yang berilmu yang menyalahgunakan ilmu dengan melakukan penyelewengan dan penipuan turut bertambah ramai.

“Ilmu sekadar dijadikan pakaian luaran untuk mendapat pengiktirafan dan pengiktirafan yang diberikan kepada insan berilmu sering kali disusuli dengan menyerahkan amanah dan tanggungjawab.

“Malang sekali, apabila insan yang diberi amanah ini, kepercayaan, jawatan dan kemurnian nilai ilmu dipelajari ditewaskan oleh naluri tamak, lalu tercetus kontradiksi, iaitu konflik dalaman.

“Sifat amanah, jujur dan ikhlas kini bagaikan komoditi yang semakin luput dan sukar ditemui yang akhirnya menyebabkan berlaku pelbagai kejadian pecah amanah, salah guna kuasa, penipuan dan rasuah,” titah baginda sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-41 di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid dan Pengarah PUO, Kamaruddin Hamzah.

Baginda bertitah lagi, perlakuan sedemikian telah mengakibatkan tercetusnya pelbagai bencana alam, kewangan dan ekonomi.

Titahnya, insan lemah yang tidak bersalah dan kurang ilmu yang meletakkan harapan kepada insan berilmu majoritinya menjadi mangsa pelbagai krisis yang berlaku kerana malapetaka, pencemaran alam, bangunan runtuh, jambatan roboh, kebankrapan syarikat dan kemelut ekonomi.

Oleh itu, Raja Nazrin bertitah, institusi pengajian dan keluarga wajib menyemaikan nilai insaniah yang tinggi di kalangan anak didik.

“Dunia tidak sekadar memerlukan insan yang diperkaya dengan minda ilmu dunia tetapi dunia lebih memerlukan insan yang menghayati dan mengamalkan ilmu, insan yang memiliki kekuatan dalaman, amanah, jujur dan ikhlas serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran,” titah Baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Raja Nazrin bertitah, sejarah, pengorbanan dan semangat yang ditunjukkan oleh nasional unggul, Ungku Omar Ungku Ahmad yang dikenali sebagai saintis dan pendidik bangsa hendaklah dijadikan sebahagian daripada komponen program induksi bagi setiap pelajar, kakitangan dan warga politeknik agar namanya tidak hanya terpahat di papan nama tetapi semangatnya terus disuntik agar segar mengalir dalam jiwa warga sepanjang masa.

“Negara telah memilih mengabadikan nama Ungku Omar kepada politeknik ini kerana menghargai jasa bakti seorang nasionalis unggul.

“Sepanjang hayatnya, Ungku Omar amat menekankan elemen kesihatan dan mengingatkan kesan negatif cacing kerawit di kalangan anak Melayu desa kerana berjalan tanpa memakai sepatu dan betapa kemiskinan tidak mengupayakan orang Melayu menikmati makanan berkhasiat, mengakibatkan orang Melayu kekurangan protein dan vitamin.

“Allahyarham sentiasa mengingatkan bangsanya supaya mengambil berat soal kesihatan dan baginya kesihatan adalah prasyarat untuk menentukan pencapaian kemajuan seseorang insan,” titah baginda lagi.

Seramai 2,818 graduan PUO akan menerima sijil dan diploma masing-masing sempena konvokesyen ke-41 yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 4 April.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");