Berita Hari Ini

Pemerhati Malaysia Mula Tugas Dalam Sejarah Pilihan Raya Myanmar

Anggota delegasi Malaysia memulakan tugas pemerhati dengan melawat beberapa stesen mengundi di Yangon ketika rakyat negara itu keluar mengundi dalam pilihan raya kecil Myanmar pada Ahad.

Mereka melawat tujuh stesen mengundi di tiga kawasan pilihan raya di Hlegu, Mayango dan Mingala Taungnyunt bagi memerhati perjalanan proses pengundian.

Delegasi Malaysia itu memulakan tugas dengan melakukan perjalanan selama sejam menuju pinggiran bandar raya itu ke kawasan Parlimen Hlegu yang mempunyai 150,000 pengundi dan 120 stesen mengundi.

Kerusi itu ditandingi oleh calon dari Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP), yang dianggotai oleh ramai pegawai tentera dan menteri kerajaan dan Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi.

Delegasi Malaysia itu terdiri daripada dua anggota Parlimen, seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya, tiga pegawai dari Kedutaan Malaysia di Myanmar dan petugas dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pemerhati Malaysia kemudian singgah di bandar Mayangon untuk memerhatikan proses mengundi di kawasan pilihan raya itu dengan Ei Ei Myo, seorang wakil NLD ditempatkan di situ, berkata tiada sebarang aduan mengenai proses mengundi di kawasan itu.

Ei berkata beliau yakin dengan Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya (UEC) melaksanakan pilihan raya itu secara profesional.

Delegasi Malaysia itu kemudian melawat bandar Mingala Taungnyunt dan memerhatikan tiga stesen mengundi di kawasan itu termasuk sebuah stesen terletak dalam perkarangan masjid dan satu lagi di sebuah restoran.

Stesen mengundi di perkarangan masjid Chattigoneneia mencatatkan 70 peratus daripada 1,650 pengundi telah mengundi setakat pukul 11.30 pagi.

Anggota Parlimen Silam, Salleh Kalbi, salah seorang pemerhati Malaysia, berkata jumlah besar pengundi yang keluar mencerminkan semangat dan minat rakyat Myanmar untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara itu.

Seorang lagi pemerhati, Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata beliau tertarik dengan kemudahan bagi pengundi pergi ke stesen mengundi tanpa gangguan dan menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam suasana yang tenang.

“Rakyat menunaikan hak mereka untuk mengundi dan tiada elemen intimidasi atau gangguan,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");