Perak Hari Ini

PR hanya mimpi di siang hari kuasai Perak selepas PRU-13: Tajol Rosli

Ibarat mimpi di siang hari, demikian sindir Adun Pengkalan Hulu, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali ketika mengulas kenyataan Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming bahawa Pakatan Rakyat akan kembali memerintah di Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sebelum selesai membahaskan titah perasmian Raja Nazrin Shah, wakil rakyat DAP itu memberi ucapan selamat tinggal kepada Tajol Rosli sambil mengatakan penggal ini merupakan penggal terakhir bagi Adun Pengkalan Hulu itu bergelar wakil rakyat serta akan berlaku pertukaran kedudukan dalam dewan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang selepas PRU-13.

“Tadi Adun Pantai Remis mengucapkan selamat tinggal kepada saya dan itu tepat.

“Tetapi jika Pakatan Rakyat kembali memerintah di Perak, itu hanya mimpi di siang hari,” katanya ketika mencelah perbahasan titah perasmian yang dibangkitkan oleh Adun Behrang, Jamaluddin Radzi.

Adun Bebas itu bersetuju dengan kenyataan mantan Menteri Besar itu dan menyatakan semakin ramai penyokongnya ketika menjadi wakil rakyat pembangkang kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Namun, Adun Hutan Melintang, S Kevasan bangun mencelah dan membidas tindakan Jamaluddin yang memilih jalan untuk bersama-sama BN bagi menjatuhkan kerajaan PR yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi.

“Kita minta UMNO, BN sediakan kerusi Tanjung Malim untuk lihat sejauhmana sokongan rakyat terhadap Jamaluddin pada pilihan raya nanti,” katanya lagi.

Suasana dewan menjadi semakin panas apabila Jamaluddin mendedahkan beliau dikhianati oleh Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selama 11 tahun saya menyertai PKR dan selepas 11 bulan PR memerintah di Perak, saya diminta keluar kerana posmen tidak pandai dan pada 2008, parti tiada calon untuk diketengahkan….jadi saya ini seperti calon fill in the blank,” katanya lagi.

Pada sesi perbahasan titah perasmian itu, Jamaluddin membangkitkan beberapa isu penting yang membabitkan kebajikan pengundi DUN Behrang.

Katanya, kerajaan negeri perlu mewujudkan pembangunan bercampur yang meliputi penempatan perumahan awam, hotel empat bintang, pangsapuri dan kemudahan awam lain untuk kegunaan penduduk yang semakin bertambah.

Jelasnya, pembangunan itu juga perlu disegerakan bagi menampung pertambahan penduduk yang dijangka mencecah 30,000 orang menjelang 2020.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri menyediakan pejabat khas untuk kegunaan ketua kampung yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan negara.

“Selain itu, saya berharap kerajaan dapat menimbang kenaikan elaun bulanan setiausaha kampung yang ketika ini menerima bayaran RM200 berbanding RM800 bagi ketua kampung, tok batin dan ketua kampung baru.

“Peranan setiausaha penting dalam melaksanakan aktiviti di peringkat kampung dan elaun yang diterima ketika ini seharusnya dikaji semula,” katanya lagi.

Jamaluddin juga menyelar tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang didakwa seperti melepaskan batuk di tangga ketika menjalankan kerja mengorek pasir di beberapa sungai di kawasan itu.

“Apabila hujan lebat, sungai yang cetek akan dipenuhi air lalu mengakibatkan banjr kilat.

“Rakyat mencadangkan kepada JPS supaya melaksanakan kerja pendalaman sungai secara terancang dan bukannya buat kerja seperti melepas batuk di tangga.

“Kita boleh beri lesen kepada pengusaha pasir untuk mengeluarkan pasir dari kawasan tebing sungai tanpa perlu menawarkan tender kerja dan melalui cara itu kerajaan boleh dapat sedikit hasil daripada pengeluaran pasir sungai yang dikorek,” katanya.

Nasib Orang Asli yang di kawasan Behrang turut dibangkitkan oleh Jamaluddin yang mahu kerajaan memberi perhatian kepada penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan untuk keselesaan hidup masyarakat berkenaan.

“Saya berharap kerajaan dapat memberi perhatian kepada masalah ini tambahan pula Perdana Menteri baru-baru ini meluluskan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyediakan kemudahan asas di penempatan Orang Asli seluruh negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");