Berita Hari Ini
Like

‘Saya pernah minta Azmin kena tindakan’

May 31, 2012
286 Views
0 Comments
3 minutes read
‘Saya pernah minta Azmin kena tindakan’

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pengarah Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Shafee Yahaya, semalam mengakui mengesyorkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 1995 supaya mengambil tindakan disiplin terhadap Setiausaha Sulitnya, Mohamed Azmin Ali selepas siasatan rasuah dijalankan ke atasnya.

Tanpa mengulas sama ada cadangannya diterima atau tidak oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Shafee menyangkal pernah mengarahkan pegawai penyiasat (IO) memberhentikan siasatan separuh jalan sambil menegaskan setiap siasatan BPR perlu diselesaikan oleh IO melainkan mendapat arahan sebaliknya.

Beliau berkata, siasatan terhadap aset Mohamed Azmin dilakukan mengikut peraturan dan menafikan bertindak di luar bidang kuasa apabila mengarahkan pegawainya menutup fail siasatan rasuah membabitkan Mohamed Azmin pada 1995.

Kelmarin, pengarang portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mendakwa mendapat maklumat daripada seorang bekas pegawai kanan BPR, yang menyerahkan dokumen sulit bertarikh 15 Mei 1995 di London bulan lalu mengenai salah guna kuasa oleh Anwar bagi menghalang BPR meneruskan siasatan rasuah terhadap Mohamed Azmin.

Raja Petra mendakwa berdasarkan dokumen itu, BPR mempunyai bukti jelas Mohamed Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai serta cek.

Shafee yang menjadi Ketua Pengarah BPR ketika itu ketika dihubungi berkata: “Mana bukti yang saya arahkan IO menghentikan siasatan? Ada tiga tindakan yang boleh diambil dalam setiap siasatan, yang pertama ialah pendakwaan disusuli dengan tindakan disiplin.

“Sekiranya individu terbabit ialah penjawat awam dan tiada elemen rasuah tetapi wujud keadaan yang mana seseorang itu mempunyai banyak hutang atau hidup melebihi kemampuan, tindakan disiplin boleh diambil. Ketiga, adalah pilihan terakhir yang mana kita menutup siasatan sekiranya tiada kes untuk dijawab.”
Ketika siasatan dijalankan, Mohamed Azmin dikatakan hanya memperoleh pendapatan bulanan RM2,442 sebagai Setiausaha Sulit.

Mengulas pendedahan itu, Shafee meminta pemberi maklumat tampil membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ditanya mengenai butiran siasatan yang menunjukkan Mohamed Azmin hanya perlu dikenakan tindakan disiplin dan syor yang beliau kemukakan kepada Anwar, Shafee berkata ada maklumat berkaitan kes Azmin yang tidak ada dalam failnya.

Beliau berkata, tidak ada elemen kukuh bagi membuktikan rasuah dalam kes itu tetapi berkata siasatan juga mendapati Azmin ketika itu banyak berhutang.

Ditanya sebab kertas siasatan tidak dirujuk kepada Peguam Negara (AG), Shafee berkata itu adalah tanggungjawab pegawai bawahannya, sambil menambah adalah mustahil bagi pegawai atasan memantau semua kes dan butirannya.

“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, siasatan polis juga sepatutnya sudah meliputi semua sudut. Kenapa pula mereka (polis) tidak membuat sebarang cadangan kepada AG ketika itu?

“Sepatutnya, tidak ada apa-apa isu lagi berkaitan kes ini melainkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menelitinya dengan lebih terperinci,” katanya.

– Berita Harian Online

Komen & Pendapat

Leave a Reply