Berita Hari Ini
Like

Bekalan susu bantuan ke sekolah di Sabah dihentikan sementara

May 30, 2012
1191 Views
0 Comments
2 minutes read
Bekalan susu bantuan ke sekolah di Sabah dihentikan sementara

PENAMPANG: Kementerian Kesihatan mengarahkan susu bantuan yang dibekalkan ke sekolah di Sabah dihentikan sementara berikutan kes keracunan susu UHT membabitkan dua sekolah di negeri ini, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata arahan itu seharusnya dipatuhi oleh semua sekolah sehingga siasatan yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah kementeriannya selesai.

“Saya minta supaya pengagihan susu itu dihentikan sehingga maklumat rasmi dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan. Memandangkan kini musim cuti sekolah, soal pengagihan itu mungkin tidak timbul,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis pelancaran Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai 2012 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di pentas luar pekarangan Hongkod Koisaan di sini, hari ini.

Rosnah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kes keracunan susu itu membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk dan Sekolah Kebangsaan (SK) St Francis Convent.

Pada 18 Mei lalu, seramai 44 pelajar SJKC Lok Yuk di Menggatal dekat sini dan lapan pelajar SK St Francis Convent di sini, dilaporkan mengalami simptom sakit perut selepas minum susu coklat sewaktu rehat.

Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar meminta kerjasama daripada pihak sekolah supaya melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan negeri sekiranya mengalami kes keracunan yang sama bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan.

“Pada masa kini, kes keracunan itu kekal membabitkan dua sekolah di negeri ini. Tiada maklumat terkini setakat ini dan pihak kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi apabila mendapat maklumat daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,” katanya.

Beliau berkata, faktor penyimpanan stok susu terbabit boleh menjadi faktor utama menyumbang kepada kes keracunan makanan itu.

“Faktor penyimpanan menjadi faktor kepada keracunan, jadi kita meminta pengeluar dan pengedar mengambil kira faktor keselamatan terutama soal penyimpanan yang harus ditekankan kerana ia memerlukan kriteria suhu yang sesuai,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat

Leave a Reply