Perak Hari Ini
Like

Duit syiling peringatan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia dijual mulai esok

May 29, 2012
428 Views
0 Comments
2 minutes read
Duit syiling peringatan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia dijual mulai esok

Bank Negara Malaysia mengeluarkan dua jenis duit syiling peringatan sempena ulangtahun ke-100 Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia yang dilancarkan secara rasmi oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah, hari ini.

Duit syiling yang dilancarkan ini dikenali duit syiling peringatan perak (pruf) yang diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dengan berat 21 gram dan duit syiling peringatan emas Nordic.

Nilai muka duit syiling pruf ialah RM10 dan dijual pada harga RM150 sekeping dan hanya 600 keping sahaja ditempa.

Manakala nilai muka duit syiling emas Nordic ialah RM1 dan harga jualannya ialah RM10 sekeping dan sebanyak 15,000 keping sahaja ditempa.

Rekabentuk duit syiling ini memaparkan logo Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Sedunia di bahagian tengah dan perkataan ulang tahun ke 100 pada bahagian atasnya.

Pada bahagian bawah duit syiling pula, tertera perkataan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia.

Di bahabagian belakang duit syiling pula, di bahagian tengahnya dipaparkan logo Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebagai menggambarkan penglibatan Malaysia dalam Persatuan Sedunia ini.

Perkataan Bank Negara Malaysia, iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan di bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka duit syiling tertera pada bahagian bawahnya.

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan di Bank Negara Malaysia dan mula dijual mulai esok di ibu pejabat bank itu.

Selain itu, orang ramai juga boleh membeli duit syiling peringatan ini di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan pejabat wilayah dan cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Komen & Pendapat

Leave a Reply