Sukan Hari Ini
Like

Hup Wei begitu hampir ke Olimpik

May 5, 2012
116 Views
0 Comments
2 minutes read
Hup Wei begitu hampir ke Olimpik

Lee Hup Wei berjaya melepasi ketinggian 2.20 meter untuk meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi Kejohanan Grand Prix Pertama di trek MSN Bukit Jalil, semalam tetapi sayangnya dia terlepas peluang untuk layak ke Sukan Olimpik London 2012 apabila gagal melepasi ketinggian 2.28m.

KUALA LUMPUR – Belum rezeki jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei untuk menjadi atlet ke-20 negara layak ke Sukan Olimpik 2012 selepas gagal melepasi ketinggian 2.28 meter pada Kejohanan Grand Prix Pertama 2012 di trek Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.

Beraksi cukup baik, Hup Wei jelas tiada tandingan untuk dicabar lain-lain atlet apabila mudah melakukan catatan 2.20 meter sebelum mengambil keputusan untuk terus mencuba ketinggian 2.28 meter dengan harapan mengesahkan tiket ke London.

Selepas gagal pada dua percubaan awal, Hup Wei dilihat hampir berjaya tetapi kakinya terkena palang menyebabkan impian pemenang pingat emas Sukan SEA 2011 itu berkubur dan perlu menanti pada kejohanan lain bagi menjadi atlet olahraga pertama ke Sukan Olimpik 2012.

”Hampir-hampir sahaja dapat melakukan catatan 2.28 meter bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik tetapi saya berpuas hati dengan prestasi kerana ini merupakan penampilan pertama saya di kejohanan luar dewan.

”Kini saya mahu mengalihkan perhatian kepada tiga kejohanan di Thailand iaitu pada 8,11 dan 14 Mei ini dalam usaha meraih catatan 2.28 meter dan yakin boleh melakukannya di sana memandangkan persaingan di sana lebih sengit.

”Walaupun begitu, selepas berakhir lompatan tadi, saya mula merasai kesakitan di bahagian lama iaitu di tempat pembedahan tetapi saya harap ia tidak serius,” katanya yang akan berlepas ke Jerman pada 18 Mei ini.

Tempat kedua diraih peserta Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Navin Raj Subramaniam dengan catatan 2.10 meter manakala tempat ketiga menjadi milik Kavee Alagan Anpalagan dari skuad pelapis yang melepasi ketinggian 2.05 meter.

Sementara itu, atlet 100 meter lelaki negara, Mohd. Zabidi Ghazali yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia-Tentera Darat Malaysia (ATM-TDM) mencuri tumpuan apabila melakukan catatan masa peribadi terbaik pada tahun ini iaitu 10.42 saat meninggalkan rakan sepasukan, Mohd. Azhar Mohd. Ismail yang melakukan 10.46 saat.

-UTUSAN ONLINE

Komen & Pendapat

Leave a Reply