Program Basmi Kemiskinan

Kerajaan terus sedia bantuan bina, baikpulih rumah untuk rakyat miskin

Pendekatan ‘Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir’ yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ternyata bukan sekadar retorik semata-mata, sebaliknya berjaya diaplikasikan demi membela nasib dan kesejahteraan rakyat Perak.

Melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), kerajaan negeri berusaha untuk mengupayakan golongan keterbawahan yang terdiri miskin dan miskin tegar keluar dari kepompong kemiskinan dengan menyediakan pelbagai bantuan untuk meringankan beban mereka termasuklah bantuan membina rumah serta membaikpulih rumah rosak.

Tidak kira di bandar atau luar bandar, pegawai dan kakitangan YBUDR turun padang untuk meninjau masalah rakyat yang mungkin terlepas pandang kerana belum memiliki rumah yang selesa untuk berteduh daripada panas dan hujan.

Sehingga Mac lalu, agensi itu membina lima buah rumah baru manakala 27 rumah lagi berjaya dibaikpulih di bawah seliaan YBUDR dengan syarat kos membaikpulih setiap rumah tidak melebihi RM15,000.

Menurut Ketua Pegawai Eksektutif YBUDR, Datuk Zainal Abidin Omar, bantuan membina rumah dibahagikan kepada tiga katogeri iaitu rumah satu bilik dengan kos RM25,000; dua bilik (RM30,000) dan tiga bilik (RM35,000) yang diturut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Bagi penerima bantuan ini, tiada ungkapan lain melainkan rasa syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang begitu prihatin dengan nasib rakyat miskin dan miskin tegar.

Salah seorang penerima bantuan ini, Sabri Mohamed dan pasangannya, Robaayah Abdullah, dari Kampung Kepayang, dekat Fairpark, yang begitu gembira kerana impian mereka untuk memiliki rumah yang selesa akhirnya dapat direalisasikan dengan bantuan kerajaan negeri.

Bercakap kepada Peraktoday.com baru-baru ini, Sabri berkata, dengan pendapatan yang tidak seberapa, beliau tidak mampu untuk menyediakan rumah yang selesa untuk keluarganya berteduh.

“Pada mulanya, saya hanya membuat permohonan untuk bantuan membaikpulih tetapi selepas pemeriksaan dijalankan, pihak YBUDR mendapati keadaan rumah itu sudah uzur kerana kebanyakan struktur utama binaan dimakan anai-anai.

“Saya bersyukur kerana melalui sokongan dan bantuan YBUDR, kini saya keluarga dapat memiliki rumah baru yang lebih selesa dan dilengkapi dengan tiga bilik.

“Diharapkan bantuan seumpama ini dapat diteruskan di masa depan agar lebih ramai rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dapat memiliki rumah sendiri,” kata bapa kepada enam anak itu lagi.

Sementara itu, kehidupan Chai Wah Leong, 55, juga lebih bermakna apabila beliau kini memiliki sebuah rumah yang dibina dengan bantuan YBUDR.

Selama ini, Wah Leong yang masih bujang tinggal bersendirian di sebuah rumah uzur yang di Kampung Baru Ampang sejak lebih 10 tahun lalu.

Namun, nasib penjual ikan laga itu berubah apabila Dr Zambry melawat kediaman uzurnya pada 22 Januari lalu yang kemudiannya mengarahkan YBUDR membina sebuah rumah baru yang lebih selesa untuk Wah Leong.

Lebih menyedihkan, rumah uzur yang diduduki Wah Leong itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik yang sempurna manakala struktur rumah sudah reput hanya menanti masa untuk runtuh.

Hampir tiga bulan berlalu, kini Wah Leong boleh tersenyum gembira kerana rumah baru yang dijanjikan oleh kerajaan negeri akhirnya siap selepas dibina dalam tempoh tiga minggu sahaja.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan YBU kerana bina rumah baru satu bilik untuk saya berteduh,” katanya dengan nada gembira.

Beliau bagaimanapun meminta pihak berkaitan agar dapat menyegerakan kerja pemasangan bekalan air ke rumahnya supaya kehidupannya lebih selesa di masa depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");