Sukan Hari Ini
Like

Malaysia kejut Pakistan

May 31, 2012
96 Views
0 Comments
1 minute read
Malaysia kejut Pakistan

JARINGAN Muhammad Razie Abd Rahim seminit sebelum tamat perlawanan membantu tuan rumah, Malaysia mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Pakistan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 di Ipoh, malam tadi.

Ketika perlawanan tampak menuju seri 2-2, pakar pukulan sudut penalti negara itu menguis kencang melepasi celah kaki penjaga gol Pakistan, Imran Shah untuk menghasilkan kemenangan pertama negara dalam kejohanan edisi ke-21 itu.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia yang memburu kemenangan pertama sebaliknya tambah tertekan apabila lawan mendahului 2-0 selepas 12 minit saingan berlangsung. Muhammad Umar Bhutta membuka jaringan pada minit ke-4 diikuti oleh Shafqat Rasool lapan minit kemudian.

Begitupun anak buah Tai Beng Hai bangkit melawan dan Amir Farid Ahmad Fuzi menyemarakkan semangat tuan rumah apabila menolak ke dalam gawang bola yang melantun ke arahnya dari tampanan pemain lawan, Rashid Mahmood sejurus sebelum rehat.

Malaysia menggandakan usaha pada babak kedua dan berjaya menekan hebat kubu lawan. Usaha mereka berhasil apabila penjaring prolifik, Faisal Shaari menyamakan kedudukan pada m-48.

Sementara itu, rekod tanpa kalah New Zealand lebur apabila tumpas 2-1 kepada Britain. Begitupun kekalahan itu tidak menjejas kedudukan pasukan Kiwi itu selaku pendahulu kerana masih berada di takhta carta berdasarkan kelebihan jaringan.

Jaringan Ashley Jackson pada m-18 dan Matt Daly (27) mencukupi buat pasukan ranking keempat dunia itu merakam kemenangan keduanya. Manakala gol New Zealand disumbangkan oleh Andy Haward (62).

– BERITA HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply