Isu Panas

Peniaga tuntut Ambiga bayar ganti rugi

KUALA LUMPUR: Sekumpulan peniaga di beberapa kawasan perniagaan di ibu negara hari ini menuntut penganjur BERSIH 3.0, Datuk S Ambiga, membayar ganti rugi susulan perhimpunan itu Sabtu lalu.

Peniaga terbabit, termasuk dari Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, Kompleks Pertama dan Kampung Baru menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan sederhana.

Menurut mereka, sekiranya setiap tahun ada perhimpunan seperti itu, mereka khuatir perniagaan akan lebih teruk terjejas sehingga terpaksa gulung tikar.

Seorang peniaga air di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Hazmizi Abu Hashim, 50, berkata beliau kecewa dengan sikap penganjur yang tidak memikirkan kesan perhimpunan itu kepada peniaga-peniaga kecil.

“Perniagaan kami ini kalau tak kerja sehari susah nak makan, walaupun perhimpunan itu sehari tetapi pelanggan kadang-kadang takut nak datang untuk hari esoknya,” katanya kepada pemberita selepas menyertai sekumpulan peniaga membantah perhimpunan BERSIH 3.0 di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Katanya, kerugian dan kerosakan yang dialaminya, di mana bekas-bekas airnya pecah ditendang peserta perhimpunan tahun lalu juga masih belum mendapat ganti rugi.

Rashid Fazzil, peniaga pakaian dari Kampung Baru berkata, hampir 80 peratus peniaga di kawasan itu terpaksa menutup kedai mereka kerana bimbang perhimpunan itu akan bertukar menjadi rusuhan.
“Ambiga harus fikir perkara-perkara ini walaupun ia kecil sebelum bertindak menganjurkan perhimpunan yang saya lihat akhirnya hura-hara,” katanya.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah, berkata sehingga semalam, beliau menerima anggaran kerugian lebih RM200,000 daripada peniaga.

Katanya, jumlah sebenar kerugian akan diketahui selepas seminggu.

Beliau berkata, laporan polis akan dibuat selepas semua kerugian itu dikenal pasti.

“Sekiranya tiada tindakan dibuat mengenai tuntutan tersebut, kami (peniaga) akan buat bantahan ‘aman’ di hadapan rumah Ambiga…tunggulah,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");