Berita Hari Ini

Perhimpunan: Kabinet Arah Segerakan Proses Siasatan Dan Pendakwaan

Kabinet mengarahkan polis dan Peguam Negara supaya menyegerakan proses siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang merancang dan mencetuskan keadaan huru-hara di ibu negara Sabtu lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara.

“Jemaah Menteri bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan mesti mengambil segala langkah serta tindakan yang perlu untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Jemaah Menteri juga membuat ketetapan dan memberi jaminan bahawa keselamatan negara dan rakyat mesti mengatasi kepentingan politik mana-mana individu mahu pun kumpulan sama ada penyokong atau pembangkang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di sini Rabu.

Hishammuddin berkata kerajaan kesal dengan tindakan segelintir peserta perhimpunan yang merusuh dan mengganas sehingga mencederakan anggota polis serta merosakkan harta awam.

“Rusuhan pada Sabtu lepas sebagai peristiwa hitam dalam sejarah tanah air,” katanya.

Hishammuddin berkata Jemaah Menteri juga merakamkan sokongan padu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab serta memikul amanah menjaga ketenteraman awam dan menangani ancaman dalaman dan luaran.

“Jemaah Menteri juga ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan anggota keselamatan dan pihak berkuasa lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam mengendalikan perhimpunan yang telah bertukar menjadi rusuhan jalanan pada Sabtu lepas,” katanya.

Beliau berkata kabinet yakin majoriti rakyat yang menghargai keamanan akan berdiri teguh bersama kerajaan dalam menangani insiden pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata kementeriannya tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat insiden keganasan yang tercetus semasa perhimpunan tersebut.

Beliau berkata senarai nama anggota panel bebas berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Kita berbincang dalam mesyuarat pasca kabinet, kita tidak mempunyai sebarang halangan dalam membentuk mana-mana panel bebas untuk mengesahkan apa-apa penemuan oleh polis walaupun melibatkan mereka. Ketua Polis Negara juga mahu perkara itu menjadi telus walaupun melibatkan polis.

“Kita mahu ketelusan. Kita mahu keadilan dan segala-galanya akan dilakukan mengikut undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pihaknya dan polis akan menyiarkan rakaman video berhubung insiden yang berlaku pada perhimpunan Sabtu lepas agar ia tidak dieksploitasi oleh pembangkang dan media asing.

Beliau berkata rakaman video yang disiarkan khususnya oleh media asing hanya tertumpu ketika polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air tetapi rakaman mengenai penyokong perhimpunan merempuh penghadang di Dataran Merdeka tidak disiarkan.

“Kabinet telah bersetuju agar memaparkan kejadian sebenar…urutan peristiwa tentang bagaimana polis bertindak akan disiarkan. Kita akan dapatkan satu mekanisme (menyiarkan rakaman video).

“Biar orang ramai yang memutuskan sama ada polis mempertahankan diri dan menilai pendekatan mereka kerana terdapat banyak contoh bahawa orang ramai mahu dan inginkan konfrontasi,” katanya.

Hishammuddin turut mengalu-alukan Majlis Peguam dan Suhakam supaya tampil mengemukakan bukti berhubung tindakan polis sepanjang perhimpunan itu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");