Berita Hari Ini
Like

Polis buru perusuh Bersih 3.0

May 3, 2012
173 Views
0 Comments
2 minutes read
Polis buru perusuh Bersih 3.0

Tindakan ganas empat pemuda yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu mengundang kemarahan orang ramai. Dalam reaksi melalui blog-blog, Facebook dan Twitter mereka menggesa pihak polis segera mengesan ndividu-individu berkenaan untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka menyifatkan tindakan peserta tersebut sebagai ganas, biadab dan tidak berperikemanusiaan . Selain tindakan menyerang dengan menggunakan kon terhadap seorang anggota polis yang keretanya terbabas, mereka juga mengecam perbuatan dua pemuda menendang seorang lagi anggota trafik yang terbaring apabila motosikalnya terbalik sementara seorang lagi bertindak melompat ke atas kereta polis. Mereka adalah sebahagian daripada ramai lagi peserta perhimpunan yang kini sedang diburu oleh pihak polis.

KUALA LUMPUR 2 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menegaskan bahawa mereka akan memburu dan menangkap semua perusuh yang bertindak ganas mencederakan anggota polis dan petugas media sepanjang perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada Sabtu lalu.

Tindakan tegas itu diambil dan polis kini dalam usaha mengenal pasti mereka yang terlibat dalam rusuhan itu yang bukan sahaja mencemarkan imej ibu negara malah turut mengakibatkan jumlah kerugian yang banyak.

Bagi memastikan kesemua peserta perhimpunan Bersih 3.0 yang terlibat ditangkap, polis akan mengedarkan gambar-gambar individu yang terlibat dalam insiden keganasan dan kekecohan itu tidak lama lagi.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, satu sidang akhbar berhubung perkara itu akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Proses siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti individu-individu tersebut. Melalui gambar-gambar yang akan diedarkan, kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu berakhir dengan keganasan apabila pesertanya bertindak biadab dan ganas dengan merosakkan harta benda awam selain mencederakan 13 anggota polis dan dua petugas media.

-UTUSAN ONLINE

Komen & Pendapat

Leave a Reply